Monday, 10 November 2014

Trimester Pertama

Minggu ke-4
~ Aku demam 3 hari. Dapat MC 2 hari (hari pertama demam public holiday). Aku banyak terbaring dan tidur je sepanjang 3 hari ni. Aku pun pelik kenapa demam ni tiba-tiba je. Pagi 13hb tu sebaik bangun tidur aku masih rasa sihat. Kemudian suamiku bersin di sebelahku (dua-dua belum bangkit dari katil) lantas cepat-cepat aku bangun dan beralih ke katil bilik sebelah untuk sambung tidur memandangkan hari cuti. Bila aku terjaga dari tidur, aku dah rasa demam. Masa tu aku fikir, demam ni nak datang tiba-tiba je, langsung tak ada tanda-tanda. Atau mungkinkah aku jangkit dari virus bersin suamiku pagi tadi (walaupun dia tak demam). Tapi demam kali ni memang pelik sebab tak ada selsema, tak ada batuk, cuma demam macam lemah-lemah.


Minggu ke-5
~ Aku mula saspen bila tarikh yang sama seperti bulan lepas tapi untuk bulan ini belum ada tanda nak datang bulan. Aku tak mahu terlalu mengharap walaupun jauh di lubuk hati sebenarnya memang mengharap pun sebab dah usaha gigih untuk berTTC sejak akhir-akhir ni, hihi. Aku cuba bersabar menunggu, manalah tahu mungkin lewat sehari dua. Aku mula terfikir sesuatu bila kawan sekerjaku bertanyakan punca aku demam, "Mengandung ke?" 
Aku jawab "Tak lah"
 Masa tu aku mula berfikir, kenapa kak W tanya aku demam sebab mengandung ke. Mungkinkah betul sebab cik P aku belum datang lagi ni walaupun dah due. Aku mula berkira-kira untuk membeli set UPT untuk membuat UPT test sendiri manalah tahu betul kata kak W tu. Selepas 3 hari cik P aku lewat, maka pagi-pagi hari keempat tu aku mulalah cekalkan hati untuk buat UPT. Takut ada, excited pun ada. Takut kecewa kalau -ve, tapi excited nak tau sebab belum datang bulan. 

Aku tak terus tengok resultnya, takut kecewa nanti takde mood pula nak mandi, errr boleh pula macam tu. Aku sibuk-sibukkan diri dengan mandi dan bersihkan diri dulu kemudian bila dah selesai mandi barulah aku kuatkan diri untuk tengok result UPT tu. Sementara tu, semasa mandi aku dah berimaginasi sendiri, kalau double line, macam mana ye reaksi aku bila happy. Tapi kalau single line, macam mana reaksi sedih aku agaknya. Usai mandi, aku jeling sedikit result UPT yang aku letakkan di tepi sinki. Macam tak percaya bila nampak bayang dua garisan. Ye, double line yang amat jelas dan terang, tak samar-samar langsung. Aku senyum sambil mengucapkan syukur berkali-kali. Lantas aku kejutkan suamiku yang sedang tidur. Aku hanya menunjukkan result UPT tu tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia tanya, apa ni tanda tak faham. Aku jawab lah yang aku mengandung. Dia cool je sambil pesan kat aku, jaga baik-baik kandungan ni. Sebelum pergi kerja, aku tunjuk kat dia lagi sebab tadi baru bangun tidur dia tak berapa nampak sebab tak pakai spec. Aku pun terangkan kat dia tentang makna result kalau satu garisan dengan dua garisan. Pagi tu aku datang kerja dengan hati yang berbunga-bunga. Yeahhhh finally.. Selama ni dengar je berita kawan-kawan mengandung, sekarang baru dapat rasa sendiri. Ikutkan hati sebenarnya tak sabar nak bagitahu kawan-kawan / family tapi aku sentiasa beringat, jangan hebahkan sangat kalau baru-baru ni, sebab apapun boleh jadi. Orang kata 3 bulan pertama ni adalah saat-saat genting dan tak elok kalau happy sangat / canang satu dunia. Aku hanya bagitau bff, sepupu dan adik yang aku rapat. 

Bermulanya cuti sekolah dua minggu. aku ambil cuti sehari awal sebab ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Masa ni balik kampung di N9. baru seminggu dapat merasai keseronokan mendapat berita gembira hamil anak pertama. Sebelum balik kampung ada tanya gynae, boleh ke jalan jauh merentasi 2 buah negeri. Doktor kata boleh asalkan jangan lalu jalan kampung yang berbonggol-bonggol / tak rata. Masa ni belum rasa mabuk / mual / pening dsb. Selera makan pun ok lagi. Nampak rebung rasa kecur je siap minta Mak Ngah bagi sebungkus untuk masak bila balik nanti. Boleh makan macam biasa. Siap kena puji dengan makcik-makcik kat kampung "Bagus eh tak mabuk-mabuk". 
Aku jawab, "Belum lagi kot". 
Makcik aku jawab "Tak lah, patutnya masa ni dah mabuk-mabuk (sebulan lebih kehamilan)". Aku jawab lagi "Ikut mak kot. Mak masa mengandung takde mabuk-mabuk pun. Kata orang biasa kita ikut mak, kalau mak tak mabuk kita pun tak lah"

Minggu ke-6 dan 7
~ Masa ni masih dalam minggu pertama cuti sekolah. Bermulanya episod ngeri dalam hidup aku yang mana pertama kali aku rasakan iaitu "penyakit" sesetengah ibu mengandung peringkat awal kehamilan iaitu alahan / mabuk mengandung. Aku melalui pengalaman yang bagi aku mengerikan sebab boleh dikira kesemuanya datang secara pakej bermula minggu ke-6 inilah. Hasil pembacaan aku dari internet juga ada menyatakan mabuk / alahan mengandung akan dirasai seawal minggu ke-6 kehamilan. Ya Tuhan.. tak ku duga sebegini awal alahan yang kurasai. Rasanya belum pun puas untuk aku kecapi nikmat khabar gembira mengandung ni, aku dah kena lalui episod duka (sementara) yang digeruni oleh kebanyakan ibu mengandung. Teringat kata-kata kawanku, alahan mengandung ni la yang tak sanggup untuk ditempuh masa mengandung. Dia dah mengandung 3 kali, tiga-tiga kali juga dia tempuh alahan mengandung, tapi orang kata sebenarnya bagus alami alahan mengandung ni. Aku pun ada terbaca kat beberapa blog tentang kebaikan mabuk mengandung. Cuma aku tak pernah menduga seteruk ini rupanya pengalaman mabuk mengandung. Mungkin sebab sebelum ni aku tak pernah ambil kisah tentang pengalaman mengandung kawan-kawan memandangkan title aku sebelum ni yang masih lagi bergelar anak dara membuatkan aku tak pernah ambil kisah situasi ibu mengandung. 

Selama hampir 10 hari aku terbaring seperti orang yang sakit kuat kerana mengalami morning sickness yang sangat teruk. Masalahnya morning sickness yang aku alami bukan setakat waktu pagi tapi bermula dari celik mata waktu pagi hinggalah nak tidur waktu malam. Sepanjang masa aku terbaring je tak kira siang dan malam. Ada masa aku tak larat langsung untuk bangun makan dan mandi. Waktu tu aku rasa down sangat apatah lagi apabila selepas aku makan secubit makanan dan makanan itu keluar balik dalam bentuk muntah. Masa tu aku rasa seperti nak menjerit, menangis tak payah cakap. Bayangkan aku tak boleh makan apa-apa langsung, kesemuanya akan dimuntahkan semula. aku cuma bergantung kepada 2-3 biji buah kurma sebagai pembekal tenaga memandangkan aku tak boleh makan apa-apa. adakalanya lepas makan kurma dan minum susu pun aku akan muntah. Dalam sehari ku kira selang dua jam aku akan muntah. Kalau banyak yang dapat aku makan, banyaklah muntahku, penuh satu sinki. Kalau sikit makan / tak makan langsung kecuali minum air putih, muntahku hanya berbentuk air jernih sahaja la. Tapi cukup menyakitkan sebab angin yang menolak dari dalam perut untuk mengeluarkan muntah tu melalui kerongkong, membuatkan badan kita jadi lembik sangat. Sudahlah lembik kerana tak makan, lembik kerana muntah pula. Waktu tu, aku pesan suami supaya belikan aku pelbagai jenis buah. Sekurang-kurangnya bila aku kurang minum air, aku dapat khasiat air dari buah-buahan, juga dapat meredakan loya tekakku ini. Aku teringat pesan gynae masa checkup pertama pengesahan kehamilan masa minggu ke-4. Dia ada berpesan kalau aku alami mabuk yang teruk, segeralah berjumpa dengannya kerana mungkin hormon baby aku terlalu tinggi. Soalnya, mana mampu aku pergi sendiri kalau tak ada orang yang bawa ke hospital. Suami aku kadang aku rasakan dia tak peduli pun kesakitan aku ni atau mungkin dia berhati kering. 



Minggu ke-8
~ Akhirnya selepas seminggu aku terlantar di perbaringan, aku kuatkan diri untuk memandu sendiri ke hospital KPJ. Di sana aku diperiksa  urine untuk memastikan bahawa tiada hormon bayi dalam urine sebab kalau positif, konfem aku akan ditahan di wad. Alhamdulillah urine aku negatif dan doktor menyuntik aku dengan ubat tahan muntah dan kemudian aku kena drip sebotol air. Selepas itu baru aku rasa kuat sedikit dan seperti dapat tenaga sedikit daripada sebelum-sebelum ni.


Minggu ke-9 dan 10
~ Bermula semula sesi persekolahan untuk penggal kedua yang mana aku harus juga gagahkan diri untuk pergi kerja. Kalau ikutkan hati dan badanku yang masih lemah ni rasanya mau saja aku cuti 3 bulan supaya dapat lah aku berehat sepuasnya sepanjang trimester pertama kehamilan ini. Di tempat kerja, aku masih alami muntah-muntah dan mabuk hinggakan aku banyak berehat dan tidur je. Mujur pada masa tu kawan-kawan pun faham sebab ada yang pernah alami. Aku masih belum kuat sebab masih belum mampu makan apa-apa. Bayangkanlah diam tak diam dah dua minggu aku tak jamah nasi langsung malah tiada makanan pun yang boleh membuka selera ku. Orang kata tekak Melayu, mesti nak makan nasi juga dalam satu hari. Tapi sekarang, aku rasa macam tak percaya sebab kalau dulu, sehari pun tak jumpa nasi aku dah rasa macam menggigil tubuh ni sebab kelaparan / lembik. Ni dah 2 minggu tak makan nasi, tak dapat aku nak terangkan macam mana lembiknya badan aku kerana tak ada tenaga. Malah bubur pun aku tak begitu lalu makan, tapi bolehlah juga jamah walaupun tak banyak. Setengah mangkuk pun susah nak habis. Aku cuma makan beberapa suap je tu pun paksa diri juga sebab terlalu lapar. Kadang tak sempat pun makanan tu bertukar menjadi tenaga sebab ia dah lebih dulu keluar melalui muntah. Aku banyak bergantung kepada kurma dan buah-buahan khususnya tembikai. Patutlah nabi sarankan orang mengandung supaya makan tembikai.. sebab tembikai mengandungi banyak air. Airnya dapat memberi badan kita sedikit tenaga dan rasa tembikai yang juicy dan manis tu boleh mengurangkan sedikit loya-loya / mual yang dialami oleh ibu mengandung sepanjang trimester pertama kehamilan.

Aku mula deactivate facebook memandangkan niat ini aku dah pasang sejak sebelum mengandung lagi dengan harapan aku dapat tumpukan pada penjagaan kandunganku ini dan yang lebih penting ialah aku dapat mengawal 'nafsu kepoh' dari menghebahkan pada umum yang aku tengah mengandung. Aku tak mahu jadi seperti sesetengah orang yang tiap pengalaman mengandungnya dari muntah-muntah / mabuk-mabuk hinggalah bersalin nak dicanangnya satu dunia fb. Tak dinafikan kadang kita gunakan fb sebagai tempat untuk meluah apa yang kita alami dan rasai tapi tak semua orang akan sependapat / berpihak pada kita. Lumrah hidup, ada yang suka, ada yang tak suka. Ada yang boleh terima, ada yang tak. Dan yang lebih penting, adalah kita perlu jaga sensitiviti orang lain khususnya yang belum kahwin / belum ada anak. Aku juga selalu merasakan perasaan yang sama bila kawan-kawan berkongsikan kegembiraan mereka mengandung, dapat anak dsb. Oleh itu aku tak mahu ada orang lain yang turut terasa dengan luahan kegembiraan / pengalaman aku mengandung bila aku tak boleh kawal diri dari meluahkannya di fb. Malah lebih teruk lagi, kalau orang lain / kawan kita terasa dengan status annoying kita sampai perlu shut down fb dia. Adik aku sendiri tutup fb nya kerana jelek dengan kawannya yang baru kahwin dan kemudian sentiasa update situasinya pasal morning sickness dsb. 


Minggu ke-11 dan 12
~ Bermulanya bulan Ramadan. Sepatutnya bulan Ramadan adalah bulan yang dibanggakan oleh ibu-ibu mengandung kerana dapat berpuasa penuh sebulan tanpa perlu mengganti / qada' puasa. Walaupun aku lembik tak bertenaga, aku tetap tunaikan kewajipan aku sebagai umat Islam dengan berpuasa di bulan Ramadan. Tapi rutin harian aku sepanjang awal Ramadan ini ialah bangun jam 5 pagi untuk sahur kurma dan air susu / air putih, kemudian aku akan tidur sekejap. Bangun semula sekitar 6.30 untuk bersiap pergi kerja, di tempat kerja seperti biasa aku akan sambung berehat dan habis je waktu sekolah aku akan cepat-cepat pulang ke rumah untuk tidur hingga ke petang. Aku akan bangun petang untuk pergi beli makanan di bazar Ramadan yang tak jauh dari rumah. Pernah seorang peniaga tegur aku, mabuk-mabuk pun larat jalan eh? Aku terpaksa. Kalau aku tak bangun pergi cari makanan, aku nak buka apa? sudahlah hanya berbekalkan kurma waktu sahur setakat 2-3 biji, takkanlah buka pun aku nak makan kurma sahaja. Aku juga kena kuatkan diri tahan loya dan tak bertenaga ni sebab aku tak boleh harapkan suami aku balik bawa makanan memandangkan dia balik kerja biasanya dah malam atau kalau paling awal pun lepas maghrib. Tapi aku memang tak boleh harapkan suami belikan makanan sebab di waktu ini tekakku amat cerewet malah kadang-kadang makanan yang aku beli pun aku tak makan sebab takde selera langsung. Aku pernah kecil hati dengan suami aku bila dia balik dari bazar hanya beli makanan untuk dia seorang sahaja. Untuk aku, mana? Dia langsung tak fikir ke isterinya kelaparan dan lembik ni yang dah berminggu-minggu tak makan nasi dah rasa macam mayat hidup je ni. Tapi sebaliknya aku yang dimarah semula kerana dia takut tersalah beli. Kalau salah beli, aku tak makan. Sudahnya membazir je. Bila aku fikir balik, betul juga. Aku hanya akan tahu apa aku nak makan kalau aku yang tengok dengan mata sendiri dan buat pilihan sendiri. Dalam keadaan tekakku yang amat cerewet dan loya-loya ni aku tak boleh pesan sesiapa untuk belikan makanan untuk aku. Tapi aku terharu juga selepas kejadian aku 'merajuk' dengan suami pasal makanan tu, sejak tu dia rajin belikan aku makanan yang agak-agak leh diterima oleh tekakku seperti kuih, taufufa atau ayam goreng sampai dua ketul yang mana kadang aku tak termakan pun sebab masa loya-loya ni aku tak perlu makan banyak, cukup secubit makanan dah boleh buat aku "kenyang". Kadang aku nak tegur suami pun tak sampai hati sebab takut nanti dia jadi serba salah pula beli salah tak beli pun salah. 

Tekakku mula mencari makanan western seperti chicken chop, spaggeti atau makaroni cheese. pernah sekali selepas waktu berbuka puasa aku ajak suamiku mencari restoran makanan western kerana aku nak makan kentang goreng dan chicken chop. Mahu juga dia turut kemahuanku walaupun dia jenis yang tak makan makanan moden melainkan nasi sahaja (tekak jawa). Bila selalu inginkan kentang goreng, akhirnya aku pergi beli sebungkus kentang goreng frozen di kedai frozen food tak jauh dari rumah aku supaya aku boleh goreng sendiri dan makan bila-bila masa aku teringin. Sepanjang alahan ini, aku mencari kentang kerana bagiku itu adalah makanan terbaik untuk menggantikan nasi memandangkan kentang juga adalah unsur karbohidrat. Kadang aku pesan suamiku agar belikan aku whipped potato KFC mangkuk besar sebab itulah satu-satunya makanan yang boleh aku nikmati malah mudah untuk memakannya hanya dengan menelan sahaja..hihi. bukan sahaja ia sesuai untuk orang yang tak ada gigi, tapi untuk orang yang tak ada selera makan sepertiku juga memandangkan teksturnya yang lembut dan halus. Teringat waktu adikku kemalangan patah kaki dan masuk wad semasa zaman sekolah dulu, itulah satu-satunya makanan yang dipesannya setiap hari kerana itulah satu-satunya makanan yang tak perlu dikunyahnya dan boleh ditelan terus memandangkan masa tu gigi depannya semua "rongak" akibat kejadian kemalangan motor. Kadang-kadang hingga ke hari ini kami masih menyakatnya bila teringatkan situasi itu.


No comments:

Post a Comment