Minggu ke-13 dan 14
~
Setelah 12 hari aku memaksa diri untuk berpuasa, akhirnya atas nasihat
gynae, aku berhenti berpuasa kerana untuk orang yang alami alahan
mengandung yang teruk macam aku, berpuasa hanya akan memudaratkan
kesihatan aku dan perkembangan bayi yang ku kandung ini. Walaupun agak
lemah untuk ikut nasihat doktor mengenangkan banyaknya bilangan hari
yang perlu ku ganti nanti (lebih kurang 17 hari), namun aku kena akur
juga demi si kecil dalam rahimku ini. Kasihan juga dia bila tak dapat
nutrien yang secukupnya dari ibunya. Sudahlah tak makan nasi, bubur juga
aku tak lalu makan. Jadi aku perlu cari satu makanan yang boleh bagi
aku rasa kenyang. Bagi aku dapat rasa kenyang sekejap pun jadilah sebab
dah berjam-jam malah berhari-hari aku rasa lapar sangat, mungkin dah
lali bagi aku.
Hasil
checkup mengandung kali kedua ni, berat badanku turun 1.3 kg. Checkup
yang lepas beratku 47.6kg, checkup yang kali ni tinggal 46.3 kg.
Sedihnya. Checkup kali ketiga pula aku tak dapat tahu berat badanku
kerana pada masa tu penimbang hospital KPJ sedang diservis. Entahlah aku
pun tak faham kenapa penimbang pun perlu diservis, atau mungkin aku
yang salah dengar. Tapi beberapa hari sebelum aku buat checkup ketiga tu
aku ada timbang berat aku di sebuah mall di JB, hanya masukkan duit 20
sen dan kemudian akan terpapar di skrin berapa berat kita. Aku kurang
ingat angka yang tepat tapi kalau tak silap aku berat aku masa tu lebih
kurang 45 kg sahaja atau mungkin sekitar 44 kg lebih. Ini bermakna
jumlah berat aku telah turun sebanyak lebih kurang 3 kg daripada sebelum
mengandung. Gynae aku kata lain penimbang lain bacaannya. Kalau nak
tahu graf berat kita dengan lebih tepat adalah dengan menggunakan satu
penimbang yang sama sahaja sepanjang tempoh mengandung.
Minggu ke-15
~
Bermulanya bulan Syawal yang mana impian aku adalah untuk makan juadah
raya sepuas-puasnya tapi soalnya selera makan aku dah kembali normal
atau belum? Raya pertama aku balik rumah mak sekejap. Mak tak masak
banyak sebab mak tak sihat dan terbaring je dah seminggu. Yang aku dapat
lihat ialah lauk lodeh. Juadah lain rasanya orang yang bagi misalnya
soto dan rendang ayam. Ternyata selera makanku belum pulih betul. Aku
boleh paksa diri makan tapi sikit je. Memandangkan tak ada rezeki aku
untuk makan ketupat mini (mungkin dah habis sebab aku sampai rumah mak
dah petang), aku hanya ratah lauk lodeh. Aku korek tauhunya sahaja at least rasa kenyang sikit dengan makan banyak tauhu.
Raya
kedua suami ajak aku pulang beraya di kampungku. Di kampung, aku mula
selera makan, tapi tabiatku ratah lauk sahaja. Mak su ku masak lauk
telur masak pindang (lemak kuning campur hirisan daun kunyit), aku ratah
telurnya sahaja. Nasi masih lagi menjadi musuhku, tapi ketupat mini aku
boleh makan. Lagi pula kalau digandingkan dengan rendang, memang
menyelerakan. Terutama di rumah Mak Ngah ku, memang rezeki aku dan baby
agaknya, seolah tahu aku memang teringinkan rendang lebih-lebih lagi
dari air tangan Mak Ngah yang aku dah labelkan pandai masak. Asam
pedasnya 'mabeles', boleh buka kedai makan. Aku makan dengan berselera
sekali ketupat mini dengan rendang ayam tua masakan Mak Ngah. Mak Ngah
masak rendang tak terlalu kering (seperti kari pekat) membuatkan aku
serasi betul dengan lauknya yang boleh dicecah dengan ketupat mini.
Kalau ikut hati mau saja aku minta Mak Ngah bungkuskan untuk aku bawa
balik tapi kenangkan baru raya ketiga, mesti ada ramai lagi tamu yang
akan datang. Ye lah, kata orang, "Makan ingat orang belakang".. hihi..
Minggu ke-16
~
Tenaga ku beransur pulih. Selera makanku juga sedikit bertambah dari
sebelum ni zero. Namun aku tetap masih selektif dalam pemakanan.
Entahlah tekak aku yang cerewet atau pembawakan baby ni. Aku dah boleh
makan lebih sedikit dari yang sebelum ni tapi nasi masih belum boleh aku
terima sepenuhnya. Berat aku juga dah naik sedikit kepada 48.2kg
manakala berat baby masa ni 113g. Alahai ringannya baby..
Muntah-muntah?
masih lagi. Waktu yang hampir wajib muntah adalah sekitar waktu bangun
pagi dan malam sebelum tidur. Mungkin sebab dua waktu ni kita gosok
gigi. Mungkin juga sebab dua waktu ni perut kita kosong jadi angin
banyak dalam perut membuatkan kita rasa loya dan senang nak muntah. Cuma
dah kurang kekerapannya berbanding sebelum-sebelum ni.
Minggu ke-17 hingga 20
~ Orang kata alahan mengandung cuma 4 bulan je, lepas tu pantang jumpa makanan semua boleh masuk. tapi tak bagi aku. Proses recovery untuk aku agak lambat sedikit. Walaupun dah 5 bulan mengandung, aku masih alami morning sickness
yang mana biasanya pagi dan malam aku muntah. Kadang, apa yang aku
makan malam tadi pun akan keluar balik dalam bentuk muntah masa
kumur-kumur waktu bangun pagi. Situasi yang aku nak elak kalau boleh
adalah kumur-kumur waktu pagi kerana waktu itulah banyaknya air liur
dalam mulut dan aku kena berkumur sebanyak mungkin untuk hilangkan rasa
lendir air liur tu, tak kurang dalam 10 kali kumur setiap pagi. Mana
mungkin untuk kita elak dari berkumur waktu pagi kan sebab masa ni la
kita kena bersihkan mulut, gosok gigi dan ambil wuduk. Sesetengah orang
yang aku jumpa ada mengatakan, muntah-muntah ni tak semestinya sampai 5
bulan, ada orang sampai 6 bulan. Oh kalau macam tu, aku perlu tunggu
sebulan lagi untuk tempuh alahan ni.
Minggu 21-24
~
Dalam tempoh ni tak begitu banyak ragam yang ku hadapi. Cuma aku dah
semakin yakin dengan gerakan baby dalam perut yang mana mula aku rasakan
sejak pertengahan minggu ke-20. Mungkin sebenarnya baby dah ada membuat
gerakan lebih awal tetapi memandangkan aku first timer preggy jadi aku
lambat dapat mengesan gerakan baby. Sebelum tu mungkin aku ingatkan itu
angin dalam perut. Tapi bila dah semakin kerap aku mula terfikir, inikah
gerakan baby setiap kali ada bubble yang seolah bergerak di dalam
perutku. Aku mula banyak membuat carian dan bacaan dari internet. Thanks
to all mommies yang sudi berkongsi pengalaman merasai gerakan baby juga
penerangan tentang bagaimana rasa gerakan tersebut. Dan aku setuju
dengan mereka yang mengatakan rasa gerakan baby ni adalah seperti ada
bubble yang bergerak dalam perut kita. Sekejap je pergerakan tu tapi
cukup bermakna bila first time merasainya. Rasa teruja dan seronok pun
ada. Maklumlah inilah pengalaman yang aku tunggu-tunggu malah seawal
minggu ke-16 tak silap aku, dah ada yang mula bertanyakan aku sama ada
aku dah dapat merasai gerakan baby dalam perut atau belum. Apabila aku
rujuk kepada gynae, dia mengatakan bergantung kepada orang. Ada orang
cepat ada yang lambat, contohnya dia, masa first baby dia dapat rasa
gerakan baby dalam perut masa bulan ke-7 sebab saiz fizikalnya yang
gemuk, katanya. Jadi adakah kalau orang yang kurus lebih cepat merasai
gerakan tersebut, Wallahua'lam. Tapi kalau menurut pembacaan aku hasil
carian google, kita akan mula merasai gerakan baby sekitar minggu ke-18
hingga 24 kalau tak silap.
Memandangkan
entri ni aku tulis menjelang minggu ke-30 kehamilan, aku dah tak berapa
ingat dalam minggu ke berapa aku alami cirit-birit sebab ada peristiwa
yang aku sempat catit dalam 'diari' ada yang tidak. Aku tak pasti adakah
aku sahaja yang alami atau situasi ni adalah normal bagi kebanyakan ibu
mengandung. Yang pasti aku mula sedar akan kesensitifan perut aku ni.
Tak boleh salah makan sedikit, pasti perut aku jadi sebu / senak /
meragam disertai dengan cirit-birit.
Pagi
tu aku beli sarapan roti canai kerana memasuki trimester kedua ni aku
mula sedar yang aku suka bersarapan roti canai. Aku tapau sekali lontong
yang mana kuah lontongnya masih panas berasap lagi. Balik kerja tengah
hari aku panaskan kuah lontong dan makan sekali dengan nasi himpitnya
sebagai juadah makan tengah hari. Lewat petangnya aku mula rasakan perut
aku bergelodak dari dalam. Sehingga ke malam, 4 kali aku cirit-birit.
Seingat aku, aku tak ada makan lain selain roti canai dan lontong. Fikir
punya fikir, mungkin kuah lontong tu yang buat aku cirit-birit. Bukan
keracunan makanan, tapi lebih kepada perutku alah dengan kuah lontong,
menurut suamiku. Hmmmm... pelik kan. Sebelum mengandung tak pernah pula
cirit-birit lepas makan lontong.
Minggu ke-25
~
Sekali lagi aku lalui keperitan cirit-birit semasa kehamilan. Puncanya
aku masak kari daging korban beberapa hari selepas Raya Haji. Kebetulan
masa tu aku dan suami berhasrat nak makan kari daging, boleh sejiwa pula
tekak kami malam tu. Malam tu kami makan nasi dengan kari daging dengan
berseleranya. Aku suka kari pekat so aku masak kari pekat tapi santan
sekotak tu aku guna separuh je. tak maulah banyak sangat santan, banyak
lemak nanti.. hehe. Keesokan paginya bangun dari tidur, aku rasa tak
sedap perut. Dah membuang pun masih rasa tak sedap. Rasa macam sebu dan
bergelodak. Sampai di tempat kerja, dua kali aku keluar masuk toilet.
Badan aku rasa lemah. Seawal jam 8 pagi aku dah telegram boss minta
balik / pergi klinik sebab aku bukan setakat cirit-birit malah muntah
juga yang mana ni bukan sebab morning sickness tapi lebih kepada
simptom keracunan makanan. Alhamdulillah, sebaik aku jumpa boss dia
benarkan aku balik berehat dengan melihat dari muka aku yang memang muka
orang sakit katanya. Aku guna peluang dapat balik awal tu untuk tidur
je di rumah. Sampai ke malam, perut aku masih belum stabil dan aku minta
suami hantarkan aku ke klinik. Doktor bagi banyak ubat, ubat sakit
perut, ubat tahan muntah, ubat buang angin dan lagi satu ubat apa aku
tak ingat. Aku sebenarnya was-was juga nak makan sebarangan ubat sebab
tengah mengandung ni. Tapi bila teringat kata-kata doktor, kalau dah 6
bulan ni, baby dah besar, dah boleh makan ubat jadi aku tawakkal je la
telan ubat dan minum ubat yang macam sirap ubat batuk tapi warna putih
susu dan rasa peppermint. Memang sedap rasanya. Bila dah start buang
angin atau dengan kata lainnya kentut tak lama lepas makan ubat, barulah
aku rasa ok sikit. Selama 2 hari aku makan ubat doktor, barulah perutku
kembali stabil. Mungkin aku alah dengan lauk rempah atau mungkin rempah
kari daging Adabi tu yang buat perut aku alah. Suami aku kata mungkin
sebab aku masukkan kesemua rempah tu sepaket. Hmm entahlah mungkin juga.
Tapi aku rasa tak la banyak sangat pun rempah sepaket kecil tu, setahu
aku memang tu untuk sekali masak. Malah lepas kejadian tu, selama 2
malam berikutnya suami aku masih makan lauk kari daging masakan aku tu
dengan 'steadynya' tanpa cirit-birit macam aku pun. Kesian dia, bila aku
sakit dia kena la survive sendiri mujurlah dia jenis yang boleh masak sendiri walaupun setakat masak nasi dan goreng telur.
Minggu ke-26
~
Bermulanya cuti sekolah seminggu sempena Deepavali. Aku 'bercuti' di
rumah ibu angkatku di Kluang memandangkan suamiku perlu outstation
selama 3-4 hari di Kulai. Aku memintanya menghantar aku ke rumah ibu
kerana bimbang tinggal seorang diri di rumah. Aku memikirkan andai kata
berlaku apa-apa kecemasan, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh
hantarkan aku ke klinik / hospital atau kalau aku sakit,
sekurang-kurangnya ada orang yang boleh tolong tengokkan makan minumku.
Maklumlah, baru lebih kurang seminggu merasai pengalaman cirit-birit,
jadi penting juga untuk aku beringat dan berjaga-jaga. Lagipun aku
sebenarnya takut duduk seorang diri waktu malam. Janganlah hero Mama ni
jadi penakut juga nanti.. hihi. Bila dah berjauhan dengan suami barulah
kenal erti rindu dan bersyukur. Buruk-buruk pun dia tetap suami kita,
yang menjaga makan minum dan sakit pening kita bila kita memerlukan.
Dialah juga peneman tiap malam untuk orang yang penakut macam aku ni.
No comments:
Post a Comment