Minggu ke-27
~
Inilah minggu yang paling kronik dan kritikal bagi aku. Sebab
pengalaman ni mungkin aku je yang rasakan. Ini bukan sakit yang biasa.
Aku mengalami sakit seperti senggugut tapi jauh lebih sakit dari tu
sehari selepas aku balik dari Kluang. Bermula Selasa malam hinggalah
Jumaat siang aku menahan kesakitan setiap 10 minit di bahagian perut dan
sekitar bawah perut. Rasa tegang yang amat sangat dan bila sakit tu
datang, aku pasti mengerang dan memegang perutku seolah ingin menahan
sesuatu. Kadang aku rasakan seperti nak buang air besar tapi bila cuba,
tak pula keluar apa-apa.
Selasa
malam Rabu, aku keluar membeli-belah di Mydin dengan suamiku. Kemudian
kami melawat kawannya yang sakit tiroid tahap 4 di Pasir Gudang. Balik
dari P.G masa tu dah hampir tengah malam. Aku mula merasakan kesakitan
di bahagian perutku masa nak tidur malam tu. Aku beritahu suami, dia
tolong usap / urut sedikit sambil bacakan apa yang patut. Tapi sakit tu
tak berkurangan. Malam tu aku tidur dengan menahan kesakitan. Hanya bila
aku dapat lelap, aku tak merasakan kesakitan tu tapi sebaik sahaja aku
terjaga dari tidur, aku akan merasakan kesakitan tu.
Mujurlah
masih dalam cuti sekolah, jadi tak perlulah aku mendapatkan MC dan aku
boleh terus berehat dan baring sahaja siang dan malam. Apapun aku tak
mampu buat kerana sakit ni datang sangat kerap iaitu sekitar 10 minit
sekali. Aku banyakkan tidur kerana hanya dengan tidur sahaja aku dapat
'melupakan' sekejap rasa sakit tu. Aku berbalas mesej dengan kawan yang
pernah ada pengalaman mengandung dan melahirkan sebanyak 2 kali. Katanya
sakit yang ku alami mirip tanda nak bersalin. Aku jadi bingung, takkan
lah seawal ini. Aku mula membuat carian google apa saja yang berkaitan
dengan kesakitan yang ku alami ini. Ada blog yang aku baca yang
berkongsikan pengalamannya bersalin anak kembar pada minggu ke-27
kehamilan dan kedua-dua bayinya mempunyai berat yang kurang 1 kg tapi
dapat terus hidup. Melalui pembacaan aku, apa yang aku faham adalah
kelahiran seawal minggu ke-26 atau 27 lebih berisiko kepada mereka yang
mengandungkan anak kembar. Aku mula alert dengan tanda-tanda lain
seperti bleeding atau keluar apa-apa cecair / lendir tapi Alhamdulillah
tak ada. Cuma petang Rabu tu ada keluar lendir putih krim semasa buang
air kecil. Aku separuh risau dan separuh tak. Risau kalau-kalau itu
tanda-tanda nak bersalin. Tak risau sebab aku yakin itu lebih kepada
keputihan / jangkitan kuman (kencing kotor) memandangkan aku sangat
kurang minum air putih. Apa tidaknya, seharian aku terbaring je, aku tak
larat untuk bangun minum. Bila aku tak minum air, maka aku tak perlu ke
tandas sebab tak akan rasa nak buang air kecil. Tengah hari itu,
suamiku pulang sekejap dari kerja dengan membawa sebotol besar air 100
plus. Disuruhnya aku minum air tu banyak-banyak. Dia lah yang layan aku
minum siap tuangkan ke cawan. Lepas minum dua cawan, dia suruh aku
berehat di bilik, pimpin aku ke katil dan suruh aku tidur sementara dia
keluar untuk pergi kerja semula. Aku ingatkan dia pulang awal sebab nak
bawa aku ke klinik. Menjelang petang, aku semakin tak dapat menahan
sakit. Aku mesej suamiku minta hantar ke klinik. Dia balik menjelang
senja dan selepas Maghrib kami bersiap untuk ke klinik. Malam tu kami
mencari klinik Ibu dan Anak malangnya dua klinik yang kami pergi tutup
memandangkan hari ini adalah cuti umum Deepavali. Akhirnya suamiku
membawaku ke klinik yang biasa kami pergi (klinik panel untuk aku sejak
sebelum kahwin lagi.. sebab doktornya baik dan cajnya murah). Mujur
klinik tu buka, doktor M tu memang kuat kerja. Dia menyatakan dalam usia
kehamilan aku sekarang, baby sedang berpusing dan biasanya ibu-ibu akan
merasai kesakitan di bahagian kelengkang tapi tak begitu kerap dan kuat
sakitnya. Dia juga menyatakan pada waktu ni kalau dibuat scan pun tetap
akan nampak baby sihat dan ia tak membantu untuk mengesan kesakitan
ibu. Jadi dia sarankan aku membuat pemeriksaan CTG di hospital kerajaan,
HSI. Dia membuat surat yang merujuk kes ku ke HSI. Apa yang membuatkan
ku gerun mendengar adalah bila dia menyatakan di sana nanti doktor akan
seluk.Whattttt? tak mau.. tak mau.. Aku belum nak bersalin kan takkan
seawal ni dah kena seluk.
Kepalaku
ligat berfikir ke mana harus aku pergi untuk rujuk masalah kesakitan ku
ini. Seboleh mungkin aku nak elak pergi hospital kerajaan memandangkan
aku tak pernah buat buku pink lagi. Tambah pula di sana ramai doktor
lelaki yang muda dan aku tak mahu melalui sekali lagi pengalaman discan
ikut bawah oleh doktor lelaki dan kemudian jadi tontonan ramai pula tu.
Aku minta suamiku hantar aku ke KPJ dulu sebab di sana mereka ada rekod
checkup mengandungku. Cuma masalahnya adakah doktor ganti memandangkan
gynae KPJ masih dalam cuti bersalin sekarang dan dah dua bulan
kebelakangan ni aku terpaksa checkup dengan doktor lain, bukan dengan
gynae yang biasa aku jumpa. Ternyata tekaanku tepat. Malam itu, doktor
O&G yang bertugas on-call menggantikan gynae aku adalah doktor
lelaki India. Ahh daripada aku buang duit beratus untuk buat CTG dengan
doktor lelaki di hospital swasta baik aku ke hospital kerajaan saja.
Nasib lah kalau dapat doktor lelaki tapi tak perlu lah keluar duit
beratus. Aku kira-kira caj untuk waktu malam tentulah lebih mahal sebab
di luar waktu bekerja.
Kami
balik rumah dulu untuk dinner dan packing kain baju manalah tahu aku
akan ditahan di wad HSI. Aku tak dapat fokus makan kerana sakitku ini
yang sangat kerap datangnya. Kami sampai di HSI dalam pukul 11 malam.
Kami terus ke bilik saringan sebab dah diingatkan terlebih dahulu oleh
doktor M tadi agar terus ke bilik saringan (khusus untuk ibu
mengandung), bukan ke bahagian kecemasan. Di HSI, aku menyerahkan surat
rujukan oleh doktor M yang mengarahkan HSI membuat CTG ke atasku. Nurse
dan doktor bertugas berkerut-kerut muka mereka apabila aku mengatakan
ingin membuat CTG di usia kehamilan 27 minggu. Tapi aku diarah baring
juga di katil hujung dan kemudian tekanan darahku diambil sebelum
diletak dua alat di atas perutku dan kemudian dililit sekitar perut,
satu untuk detect jantung baby, satu lagi untuk detect contraction ibu.
Selama hampir setengah jam juga pemeriksaan CTG dijalankan, graf hanya
menunjukkan corak bacaan jantung baby, tapi untuk graf contraction,
absent. Ia hanya satu garisan yang hampir mendatar di bawah paras 0
menunjukkan tiada contraction. Sukar aku nak jelaskan kepada doktor yang
aku benar-benar sakit yang amat sangat di bahagian bawah perut seakan
senggugut tapi lagi sakit dan sakitnya datang setiap 10 minit. Aku dapat
tengok waktu aku sakit memandangkan jam dinding hanya di sebelah
katilku. Sakitnya datang jam 10.50, 11.00, 11.15, 11.25pm. Tapi oleh
kerana doktor hanya berpandukan graf contraction (yang lebih khusus
untuk sakit orang nak bersalin), maka doktor tak dapat klasifikasikan
sakit aku sebagai apa. Doktornya muda sekitar 20an, rasanya belum kahwin
dan tentu baru grad, mujurlah aku dapat doktor perempuan jadi kurang la
malu bila kena tayang perut. Cuma yang aku tak suka tentang doktor N
ni, dalam keadaan aku tengah sakit, hatiku juga sakit bila dia
bertanyakan soalan-soalan bodoh bagi aku apabila dia tak dapat mengesan
sakitku. Dia membuat andaian sakitku ini lebih kepada simptom Braxton
Hicks dan menyatakan sakit tu akan hilang sendiri bila aku mengubah
posisi atau membuat pergerakan. Aku hilang kata-kata dan respek kepada
seorang doktor yang bertanyakan soalan peribadi lantaran dia nak mencari
punca sakitku ini. Aku tak menjawab soalannya memandangkan dalam
kesakitan begini aku tak ada mood nak jawab soalan-soalan yang bagi aku
sensitif / soalan bodoh. Aku menceritakan kepada suamiku tentang
bagaimana aku dilayan di dalam bilik saringan. Aku bertanyakan suamiku,
perlu ke doktor tanya aku lambat kahwin ke, lambat mengandung ke? Dah
tentu aku tengah mengandung sekarang perlu ke tanya soalan lambat
mengandung tu semua. Kalau ikut bengang, rasa nak je bangun dari katil
dan balik je, memandangkan doktor N pun kata, aku boleh telan panadol
je, tapi aku kawal emosi aku sebab manalah tahu nanti nak bersalin
ditakdirkan aku kena admit kat HSI.
Aku
dibenarkan balik (memandangkan doktor pun tak dapat detect sakit aku
dan suruh aku telan panadol je) malam tu. Kami tiba di rumah hampir jam 2
pagi. Mujurlah tengah cuti sekolah jadi aku tak perlu risau tentang
kerja. Pulang je dari HSI aku terus telan panadol sebanyak 2 biji, tapi
tetap 'tak jalan'. Sakitku ini tak kalis pun dengan panadol tu. Malam
itu, adalah malam yang sengsara bagi aku kerana aku tak dapat tidur
langsung. Macam mana nak tidur kalau baru nak lelap dah rasa sakit tiap
10 minit, kadang aku rasa belum sampai 10 minit sakit tu datang lagi.
Aku mengerang je sepanjang malam. Mula-mula suamiku layan apa yang
patut, digosok-gosoknya perut ni tapi lama-lama dia pun terlelap. Aku
seolah nak kejutkan dia setiap kali sakit ni datang tapi aku juga
kasihankan dia, sudahlah siang dia bekerja, malam kena hantar aku ke
klinik dan tunggu aku. Kemudian, waktu tidur kena berjaga untuk jaga aku
pula. Jadi aku tanggung sakit ni sorang-sorang. Apa yang aku dapat buat
selain berdoa dan berzikir seperti yang suami aku sarankan banyak kali.
Tapi sejujurnya dalam keadaan sakit sangat pun kita tak dapat fokus
zikir sebab fokus kita dah lari kepada menahan sakit.
Keesokan
harinya (Khamis), aku masih lagi terlantar sakit. Dah 2 hari 2 malam
aku menahan kesakitan ini. Bagiku lebih baik sakit nak bersalin sebab
sekurang-kurangnya baby dalam proses nak keluar. Tapi sakitku ini seolah
tiada hala tuju. Nak kata dah nak bersalin, mesin CTG tak dapat
mengesan contraction. Habis, kalau bukan sakit nak bersalin, ni sakit
apa. Kenapa sakitnya terlalu kerap? Kalau ikut pembacaan aku, Braxton
Hicks tak sebegini kerap. Ia hanya datang sekali dalam sejam itupun tak
la terlalu lama mungkin beberapa saat sahaja. Dan sakit tu akan hilang
sendiri bila kita mengubah posisi atau aktiviti. Tapi sakit ni, seolah
ada batu besar di bawah perut ni dan ia rasa seperti kejang / cramp. Aku
juga semakin kerap buang air kecil walaupun aku tak minum air putih,
dalam sehari ada dalam secawan je yang aku minum, itupun setiap kali
minum, sikit-sikit dalam suku / setengah cawan je. Walau bagaimanapun
aku bersyukur kerana mesin CTG tak dapat mengesan kesakitan yang ku
alami kerana aku tak mahu baby ini lahir pramatang. Masih terlalu awal
untuk lahir ke dunia ni, sayang. Biarlah baby membesar dengan sihat dan
sempurna dalam perut sehingga tempoh matang. Tentu banyak risikonya
kalau bayi lahir seawal ini, belum pun genap 7 bulan.
Aku
mesej suamiku minta dia hantarkan aku ke klinik ibu dan anak malam
nanti lepas dia pulang dari kerja nanti. Harapnya klinik tu buka sebab
hari ni rasanya dah naik kerja. Seperti biasa, lepas Maghrib kami
bergegas ke klinik. Alhamdulillah buka. Harapnya doktor klinik tu dapat
la scan baby aku dan detect sakit aku ni. Lama juga aku menanti giliran
rupanya mamat yang turn dia sebelum aku tu kena dressing la sebab
nampak balutan luka di tepi kepalanya. Aku di luar dah tak dapat menahan
kesakitan setiap kali sakit itu datang. Suami aku lah yang jadi mangsa
bila sakit tu datang, aku akan genggam tangannya kuat-kuat atau
tarik-tarik bajunya.
Doktor
S membuat pemeriksaan ke atas urinku. Katanya ada sikit je bacaan
kencing kotor tapi tak mungkin dengan bacaan sekecil tu aku boleh sakit
sebegini teruk. Aku jawab memang betul sebab di awal kehamilan, bacaan
untuk kencing kotor ku lebih tinggi iaitu sekitar +1 atau +2 (tak berapa
ingat) tapi masa tu aku tak rasa sakit pun. Doktor juga menganalisis
urine ku terlalu 'kering' sambil bertanya adakah aku kurang minum air
putih. Ye memang betul aku sangat kurang minum air putih, hampir tak ada
minum langsung lah senang cerita. Jadi doktor membuat kesimpulan bacaan
minor untuk kencing kotor tu sebab aku kurang minum air putih, tapi
bukan sebab jangkitan kuman. Aku kemudian diarah baring untuk
membolehkan doktor memeriksa jantung baby. Apabila dia mendengar jantung
baby ku kuat, dia memuji "Jantung baby bagus, gerakan dia pun bagus".
Iya memang betul. Itulah petanda untuk aku tak risaukan sangat condition
baby sebab dia aktif bergerak di dalam. Semasa di HSI semalam juga aku
dapat mendengar degup jantung baby yang kuat hasil pemeriksaan CTG dan
itu cukup buat aku lega yang baby aku selamat. Soalnya apa punca sakitku
ini. Doktor S juga menyatakan sakit yang ku alami ni bukan Braxton
Hicks. Katanya Braxton Hicks tak macam ni. Dia memang seorang doktor
yang lemah lembut dan keibuan. Dari riak wajahnya yang lembut dan
keibuan tu terserlah betapa dia empati dengan kesakitanku. Jaranglah aku
jumpa doktor yang cakap "Kesian.." sambil seolah geleng kepala melihat
keadaanku yang sedang menanggung sakit. Dia membuat satu surat yang
merujuk kes ku kepada doktor O&G Hosp Penawar tapi sebelum tu dia
minta izinku dulu sama ada boleh atau tidak dia rujuk kes ku ini ke
sana. Aku setuju bila mendengar nama doktor yang disebut tu sangat
familiar memandangkan beberapa orang rakan sekerjaku juga bersalin
dengan doktor H dan mereka memuji-muji cara doktor H.
Suamiku
enggan membawaku ke Hospital Penawar dan menghantarku pulang ke rumah.
Aku seperti terpinga-pinga kenapa dia enggan menghantarku berjumpa
doktor H. Sampainya hati dia melihat aku yang sedang menanggung
kesakitan dah masuk malam ketiga. Tapi kemudian aku faham bila dia mula
bersyarah padaku masa dalam kereta. Dia kata kalau jangkitan kuman,
mesti dah dapat detect dalam urine. Dia kata lagi kalau dah sampai pergi
jumpa 3 orang doktor dan ketiga-tiganya tak dapat mengesan sakitku ini,
ikhtiar cara lain sebab kalau jumpa doktor lain lepas ni pun mungkin
sama juga malah mungkin 'teruk' aku disiang (diseluk dsb). Ini
meyakinkan kami yang sakitku ini bukan sakit biasa tapi lebih kepada
sakit mistik (gangguan). Aku tak boleh nak ceritakan di sini apa
syarahannya malam tu tapi aku setuju dengan pandangan dan syarahannya.
Malah dia memang ada ilmu dalam bidang ni dan aku sanjung tinggi ilmu
hakikat yang dimilikinya. Makhluk halus memang wujud dan bila kita lemah
/ kurang berzikir mengingati Allah, dengan mudah makhluk tu menguasai
badan kita dan menyakitkan jasad kita. Patutlah semasa di luar klinik
tadi aku melihat suami bercakap panjang dalam handphone. Mungkin dia ada
merujuk kes ku ini kepada beberapa orang alim. Selepas menghantarku
pulang, dia membelikan aku nasi bungkus memandangkan kami belum dinner
malah aku memang tak makan dari siang. Kemudian dia bergegas keluar
semula untuk ke salah sebuah masjid di Pasir Gudang dengan membawa 4
botol besar (botol 20 liter) untuk mengambil air masjid (yang dalam
kolah) untuk buat 'ubat' sakitku ini. Malam tu juga dia memandikan aku
dengan 2 botol besar air masjid dan pada masa dia menjirus air ke
badanku, aku dapat rasakan seolah aku mandi ais, sejuknya tak terkata.
Tapi setahuku, bila kita rasa sejuk sangat tu sebenarnya makhlus halus
yang kat dalam tu rasa panas sangat, wallahua'lam. Sebelum tidur suamiku
mengarahkanku minum air dalam botol 1.5 liter tapi aku tak minum pun
sebab aku tak tahu tu air apa, tapis ke tidak. Lagipun tengok botolnya
buruk je entah botol apa yang dipakainya (Bila kita terlalu cerewet dan
memikirkan itu ini, maksudnya ada bisikan tak baik / gangguan dalaman
yang tak bagi / tak mahu kita minum air tu).
Masih
seperti malam sebelumnya, sepanjang malam aku sukar tidur lantaran
sakit yang datang setiap 10 minit ni. Dan aku hanya bertahan sepanjang
malam sambil memikirkan sampai bila aku harus menahan / boleh menahan
kesakitan ini. Ada masa mulutku tak boleh terkawal dari merapu yang
bukan-bukan seperti "baik mati je la kalau macam ni". Aku berfikir apa
pengakhiran sakitku ini, apa penawarnya.. Dah mandi air masjid pun sama
je sakitnya.
Keesokan
paginya, (Jumaat) seawal 7 pagi suamiku dah bersiap untuk pergi kerja.
Sebelum tu dia memesanku agar minum air dalam botol yang ditunjuknya
malam tadi. Aku menjawab dengan nada tegang, "Air apa tu?"
Lantas dijawabnya, "Ko ingat laki ko ni nak bagi minum air bukan-bukan ke?"
Aku pula jadi takut bila nadanya seakan marah. Aku jawab dalam hati, ye lah, nak tahu juga air apa.. air tapis ke tak..
Dia seakan mendengar jawapanku dan menjawab "Air masjid lah"
Sebaik
sahaja dia keluar pergi kerja, aku pun gagahkan diri untuk minum
secawan air masjid yang diambil oleh suamiku malam tadi dari dispenser
masjid. Kalau ikutkan hati sebenarnya tak mahu minum memandangkan aku ni
penggeli, entah botol air apa yang dia guna, bekas mulut siapa dan
macam-macam lagi la yang ku fikir. Tapi niat hati nak cepat baik, maka
aku dapat lawan kecerewetan aku ni. Sebaik sahaja aku minum secawan air
masjid, sakitku makin kuat tapi kemudian hilang dan aku dapat tidur.
Alhamdulillah, nikmatnya bila dapat qada' tidur yang dah 2 malam aku tak
dapat langsung. Aku terjaga dalam pukul 9 lebih maksudnya aku dapat
tidur selama 2 jam. Itu dah cukup baik bagi aku kalau nak bandingkan
dengan saat-saat tak dapat tidur langsung. Lepas bangun, aku minum lagi
secawan air masjid dan Alhamdulillah, lepas minum cawan kedua ni, aku
mula rasa nikmat sihat yang mana sakit 'contraction' tiap 10 minit tu
mula berkurang iaitu dari 10 minit sekali menjadi setengah jam sekali.
Apabila aku dapat rasai perbezaan ketara, aku mula rajin minum air
masjid tu. Menjelang petang, hampir setengah botol 1.5 liter tu dapat
aku minum. Syukur sangat, walaupun belum sembuh secara total, tapi
dengan berkurangnya kesakitan tu dah cukup nikmat bagi aku. Bila kita
dah rasa sakit yang teruk, sakit sikit-sikit tak terasa sangat pun. Tapi
rasa tegang yang amat sangat tu masih datang sekali-sekala sehingga ke
malamnya namun aku teruskan minum air masjid tu. Dan malam tu, untuk
malam kedua, aku dimandikan air masjid oleh suamiku sebanyak 2 botol
lagi. Beza juga rasanya masa mandi malam kedua ni. Sebab aku dah mula
rasa stabil, tak meraung kecil seperti malam semalam. Aku juga lebih
rasa tenang masa mandi dan aku tak lagi merasakan kesejukan seperti air
batu semasa air masjid tu mencecah tubuhku. Malam tu barulah aku dapat
tidur kerana beransur sembuh, Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran
kupanjatkan kepada yang Maha Esa. Kadang aku rasa macam mimpi je bila
dapat sembuh seperti sediakala. Kadang aku rasa ajaib juga dapat sembuh
setelah 3 hari 3 malam bertarung / berjuang menahan sakit. Kadang aku
rasa ini mungkin sakit yang Allah bagi aku rasa dahulu sebelum tiba masa
nak bersalin nanti. Yang pasti, aku kena bersyukur banyak-banyak kepada
Allah kerana baby aku selamat (hanya ibunya yang sakit) dan dengan
izin-Nya juga aku sembuh. Aku juga kena berterima kasih kepada suamiku
yang tabah menjagaku sepanjang aku sakit. Sepanjang perkahwinan ni,
belum sekali pun aku menjaganya sebab dia belum pernah sakit lagi tapi
dia dah banyak kali jaga aku dalam sakit memandangkan dah berpuluh kali
aku sakit sepanjang tempoh perkahwinan ni. Aku tak dapat bayangkan kalau
dia yang sakit, mampu ke aku menjaganya sebaik dia menjaga aku yang
sedang sakit. Tapi aku positifkan diri aku dengan mengingat satu
perkara. Apabila isteri sakit, Allah nak angkat darjat suami yang
menjaganya dan begitulah apabila suami sakit, Allah sebenarnya nak
angkat darjat si isteri.
No comments:
Post a Comment