Monday, 10 November 2014

Trimester Ketiga

Minggu ke-27
~ Inilah minggu yang paling kronik dan kritikal bagi aku. Sebab pengalaman ni mungkin aku je yang rasakan. Ini bukan sakit yang biasa. Aku mengalami sakit seperti senggugut tapi jauh lebih sakit dari tu sehari selepas aku balik dari Kluang. Bermula Selasa malam hinggalah Jumaat siang aku menahan kesakitan setiap 10 minit di bahagian perut dan sekitar bawah perut. Rasa tegang yang amat sangat dan bila sakit tu datang, aku pasti mengerang dan memegang perutku seolah ingin menahan sesuatu. Kadang aku rasakan seperti nak buang air besar tapi bila cuba, tak pula keluar apa-apa. 

Selasa malam Rabu, aku keluar membeli-belah di Mydin dengan suamiku. Kemudian kami melawat kawannya yang sakit tiroid tahap 4 di Pasir Gudang. Balik dari P.G masa tu dah hampir tengah malam. Aku mula merasakan kesakitan di bahagian perutku masa nak tidur malam tu. Aku beritahu suami, dia tolong usap / urut sedikit sambil bacakan apa yang patut. Tapi sakit tu tak berkurangan. Malam tu aku tidur dengan menahan kesakitan. Hanya bila aku dapat lelap, aku tak merasakan kesakitan tu tapi sebaik sahaja aku terjaga dari tidur, aku akan merasakan kesakitan tu. 

Mujurlah masih dalam cuti sekolah, jadi tak perlulah aku mendapatkan MC dan aku boleh terus berehat dan baring sahaja siang dan malam. Apapun aku tak mampu buat kerana sakit ni datang sangat kerap iaitu sekitar 10 minit sekali.  Aku banyakkan tidur kerana hanya dengan tidur sahaja aku dapat 'melupakan' sekejap rasa sakit tu. Aku berbalas mesej dengan kawan yang pernah ada pengalaman mengandung dan melahirkan sebanyak 2 kali. Katanya sakit yang ku alami mirip tanda nak bersalin. Aku jadi bingung, takkan lah seawal ini. Aku mula membuat carian google apa saja yang berkaitan dengan kesakitan yang ku alami ini. Ada blog yang aku baca yang berkongsikan pengalamannya bersalin anak kembar pada minggu ke-27 kehamilan dan kedua-dua bayinya mempunyai berat yang kurang 1 kg tapi dapat terus hidup. Melalui pembacaan aku, apa yang aku faham adalah kelahiran seawal minggu ke-26 atau 27 lebih berisiko kepada mereka yang mengandungkan anak kembar. Aku mula alert dengan tanda-tanda lain seperti bleeding atau keluar apa-apa cecair / lendir tapi Alhamdulillah tak ada. Cuma petang Rabu tu ada keluar lendir putih krim semasa buang air kecil. Aku separuh risau dan separuh tak. Risau kalau-kalau itu tanda-tanda nak bersalin. Tak risau sebab aku yakin itu lebih kepada keputihan / jangkitan kuman (kencing kotor) memandangkan aku sangat kurang minum air putih. Apa tidaknya, seharian aku terbaring je, aku tak larat untuk bangun minum. Bila aku tak minum air, maka aku tak perlu ke tandas sebab tak akan rasa nak buang air kecil. Tengah hari itu, suamiku pulang sekejap dari kerja dengan membawa sebotol besar air 100 plus. Disuruhnya aku minum air tu banyak-banyak. Dia lah yang layan aku minum siap tuangkan ke cawan. Lepas minum dua cawan, dia suruh aku berehat di bilik, pimpin aku ke katil dan suruh aku tidur sementara dia keluar untuk pergi kerja semula. Aku ingatkan dia pulang awal sebab nak bawa aku ke klinik. Menjelang petang, aku semakin tak dapat menahan sakit. Aku mesej suamiku minta hantar ke klinik. Dia balik menjelang senja dan selepas Maghrib kami bersiap untuk ke klinik. Malam tu kami mencari klinik Ibu dan Anak malangnya dua klinik yang kami pergi tutup memandangkan hari ini adalah cuti umum Deepavali. Akhirnya suamiku membawaku ke klinik yang biasa kami pergi (klinik panel untuk aku sejak sebelum kahwin lagi.. sebab doktornya baik dan cajnya murah). Mujur klinik tu buka, doktor M tu memang kuat kerja. Dia menyatakan dalam usia kehamilan aku sekarang, baby sedang berpusing dan biasanya ibu-ibu akan merasai kesakitan di bahagian kelengkang tapi tak begitu kerap dan kuat sakitnya. Dia juga menyatakan pada waktu ni kalau dibuat scan pun tetap akan nampak baby sihat dan ia tak membantu untuk mengesan kesakitan ibu. Jadi dia sarankan aku membuat pemeriksaan CTG di hospital kerajaan, HSI. Dia membuat surat yang merujuk kes ku ke HSI. Apa yang membuatkan ku gerun mendengar adalah bila dia menyatakan di sana nanti doktor akan seluk.Whattttt? tak mau.. tak mau.. Aku belum nak bersalin kan takkan seawal ni dah kena seluk.

Kepalaku ligat berfikir ke mana harus aku pergi untuk rujuk masalah kesakitan ku ini. Seboleh mungkin aku nak elak pergi hospital kerajaan memandangkan aku tak pernah buat buku pink lagi. Tambah pula di sana ramai doktor lelaki yang muda dan aku tak mahu melalui sekali lagi pengalaman discan ikut bawah oleh doktor lelaki dan kemudian jadi tontonan ramai pula tu. Aku minta suamiku hantar aku ke KPJ dulu sebab di sana mereka ada rekod checkup mengandungku. Cuma masalahnya adakah doktor ganti memandangkan gynae KPJ masih dalam cuti bersalin sekarang dan dah dua bulan kebelakangan ni aku terpaksa checkup dengan doktor lain, bukan dengan gynae yang biasa aku jumpa. Ternyata tekaanku tepat. Malam itu, doktor O&G yang bertugas on-call menggantikan gynae aku adalah doktor lelaki India. Ahh daripada aku buang duit beratus untuk buat CTG dengan doktor lelaki di hospital swasta baik aku ke hospital kerajaan saja. Nasib lah kalau dapat doktor lelaki tapi tak perlu lah keluar duit beratus. Aku kira-kira caj untuk waktu malam tentulah lebih mahal sebab di luar waktu bekerja. 

Kami balik rumah dulu untuk dinner dan packing kain baju manalah tahu aku akan ditahan di wad HSI. Aku tak dapat fokus makan kerana sakitku ini yang sangat kerap datangnya. Kami sampai di HSI dalam pukul 11 malam. Kami terus ke bilik saringan sebab dah diingatkan terlebih dahulu oleh doktor M tadi agar terus ke bilik saringan (khusus untuk ibu mengandung), bukan ke bahagian kecemasan. Di HSI, aku menyerahkan surat rujukan oleh doktor M yang mengarahkan HSI membuat CTG ke atasku. Nurse dan doktor bertugas berkerut-kerut muka mereka apabila aku mengatakan ingin membuat CTG di usia kehamilan 27 minggu. Tapi aku diarah baring juga di katil hujung dan kemudian tekanan darahku diambil sebelum diletak dua alat di atas perutku dan kemudian dililit sekitar perut, satu untuk detect jantung baby, satu lagi untuk detect contraction ibu. Selama hampir setengah jam juga pemeriksaan CTG dijalankan, graf hanya menunjukkan corak bacaan jantung baby, tapi untuk graf contraction, absent. Ia hanya satu garisan yang hampir mendatar di bawah paras 0 menunjukkan tiada contraction. Sukar aku nak jelaskan kepada doktor yang aku benar-benar sakit yang amat sangat di bahagian bawah perut seakan senggugut tapi lagi sakit dan sakitnya datang setiap 10 minit. Aku dapat tengok waktu aku sakit memandangkan jam dinding hanya di sebelah katilku. Sakitnya datang jam 10.50, 11.00, 11.15, 11.25pm. Tapi oleh kerana doktor hanya berpandukan graf contraction (yang lebih khusus untuk sakit orang nak bersalin), maka doktor tak dapat klasifikasikan sakit aku sebagai apa. Doktornya muda sekitar 20an, rasanya belum kahwin dan tentu baru grad, mujurlah aku dapat doktor perempuan jadi kurang la malu bila kena tayang perut. Cuma yang aku tak suka tentang doktor N ni, dalam keadaan aku tengah sakit, hatiku juga sakit bila dia bertanyakan soalan-soalan bodoh bagi aku apabila dia tak dapat mengesan sakitku. Dia membuat andaian sakitku ini lebih kepada simptom Braxton Hicks dan menyatakan sakit tu akan hilang sendiri bila aku mengubah posisi atau membuat pergerakan. Aku hilang kata-kata dan respek kepada seorang doktor yang bertanyakan soalan peribadi lantaran dia nak mencari punca sakitku ini. Aku tak menjawab soalannya memandangkan dalam kesakitan begini aku tak ada mood nak jawab soalan-soalan yang bagi aku sensitif / soalan bodoh. Aku menceritakan kepada suamiku tentang bagaimana aku dilayan di dalam bilik saringan. Aku bertanyakan suamiku, perlu ke doktor tanya aku lambat kahwin ke, lambat mengandung ke? Dah tentu aku tengah mengandung sekarang perlu ke tanya soalan lambat mengandung tu semua. Kalau ikut bengang, rasa nak je bangun dari katil dan balik je, memandangkan doktor N pun kata, aku boleh telan panadol je, tapi aku kawal emosi aku sebab manalah tahu nanti nak bersalin ditakdirkan aku kena admit kat HSI.

Aku dibenarkan balik (memandangkan doktor pun tak dapat detect sakit aku dan suruh aku telan panadol je) malam tu. Kami tiba di rumah hampir jam 2 pagi. Mujurlah tengah cuti sekolah jadi aku tak perlu risau tentang kerja. Pulang je dari HSI aku terus telan panadol sebanyak 2 biji, tapi tetap 'tak jalan'. Sakitku ini tak kalis pun dengan panadol tu. Malam itu, adalah malam yang sengsara bagi aku kerana aku tak dapat tidur langsung. Macam mana nak tidur kalau baru nak lelap dah rasa sakit tiap 10 minit, kadang aku rasa belum sampai 10 minit sakit tu datang lagi. Aku mengerang je sepanjang malam. Mula-mula suamiku layan apa yang patut, digosok-gosoknya perut ni tapi lama-lama dia pun terlelap. Aku seolah nak kejutkan dia setiap kali sakit ni datang tapi aku juga kasihankan dia, sudahlah siang dia bekerja, malam kena hantar aku ke klinik dan tunggu aku. Kemudian, waktu tidur kena berjaga untuk jaga aku pula. Jadi aku tanggung sakit ni sorang-sorang. Apa yang aku dapat buat selain berdoa dan berzikir seperti yang suami aku sarankan banyak kali. Tapi sejujurnya dalam keadaan sakit sangat pun kita tak dapat fokus zikir sebab fokus kita dah lari kepada menahan sakit. 

Keesokan harinya (Khamis), aku masih lagi terlantar sakit. Dah 2 hari 2 malam aku menahan kesakitan ini. Bagiku lebih baik sakit nak bersalin sebab sekurang-kurangnya baby dalam proses nak keluar. Tapi sakitku ini seolah tiada hala tuju. Nak kata dah nak bersalin, mesin CTG tak dapat mengesan contraction. Habis, kalau bukan sakit nak bersalin, ni sakit apa. Kenapa sakitnya terlalu kerap? Kalau ikut pembacaan aku, Braxton Hicks tak sebegini kerap. Ia hanya datang sekali dalam sejam itupun tak la terlalu lama mungkin beberapa saat sahaja. Dan sakit tu akan hilang sendiri bila kita mengubah posisi atau aktiviti. Tapi sakit ni, seolah ada batu besar di bawah perut ni dan ia rasa seperti kejang / cramp. Aku juga semakin kerap buang air kecil walaupun aku tak minum air putih, dalam sehari ada dalam secawan je yang aku minum, itupun setiap kali minum, sikit-sikit dalam suku / setengah cawan je. Walau bagaimanapun aku bersyukur kerana mesin CTG tak dapat mengesan kesakitan yang ku alami kerana aku tak mahu baby ini lahir pramatang. Masih terlalu awal untuk lahir ke dunia ni, sayang. Biarlah baby membesar dengan sihat dan sempurna dalam perut sehingga tempoh matang. Tentu banyak risikonya kalau bayi lahir seawal ini, belum pun genap 7 bulan.

Aku mesej suamiku minta dia hantarkan aku ke klinik ibu dan anak malam nanti lepas dia pulang dari kerja nanti. Harapnya klinik tu buka sebab hari ni rasanya dah naik kerja. Seperti biasa, lepas Maghrib kami bergegas ke klinik. Alhamdulillah buka. Harapnya doktor klinik  tu dapat la scan baby aku dan detect sakit aku ni. Lama juga aku menanti giliran rupanya mamat yang turn dia sebelum aku tu kena dressing la sebab nampak balutan luka di tepi kepalanya. Aku di luar dah tak dapat menahan kesakitan setiap kali sakit itu datang. Suami aku lah yang jadi mangsa bila sakit tu datang, aku akan genggam tangannya kuat-kuat atau tarik-tarik bajunya. 

Doktor S membuat pemeriksaan ke atas urinku. Katanya ada sikit je bacaan kencing kotor tapi tak mungkin dengan bacaan sekecil tu aku boleh sakit sebegini teruk. Aku jawab memang betul sebab di awal kehamilan, bacaan untuk kencing kotor ku lebih tinggi iaitu sekitar +1 atau +2 (tak berapa ingat) tapi masa tu aku tak rasa sakit pun. Doktor juga menganalisis urine ku terlalu 'kering' sambil bertanya adakah aku kurang minum air putih. Ye memang betul aku sangat kurang minum air putih, hampir tak ada minum langsung lah senang cerita. Jadi doktor membuat kesimpulan bacaan minor untuk kencing kotor tu sebab aku kurang minum air putih, tapi bukan sebab jangkitan kuman. Aku kemudian diarah baring untuk membolehkan doktor memeriksa jantung baby. Apabila dia mendengar jantung baby ku kuat, dia memuji "Jantung baby bagus, gerakan dia pun bagus". Iya memang betul. Itulah petanda untuk aku tak risaukan sangat condition baby sebab dia aktif bergerak di dalam. Semasa di HSI semalam juga aku dapat mendengar degup jantung baby yang kuat hasil pemeriksaan CTG dan itu cukup buat aku lega yang baby aku selamat. Soalnya apa punca sakitku ini. Doktor S juga menyatakan sakit yang ku alami ni bukan Braxton Hicks. Katanya Braxton Hicks tak macam ni. Dia memang seorang doktor yang lemah lembut dan keibuan. Dari riak wajahnya yang lembut dan keibuan tu terserlah betapa dia empati dengan kesakitanku. Jaranglah aku jumpa doktor yang cakap "Kesian.." sambil seolah geleng kepala melihat keadaanku yang sedang menanggung sakit. Dia membuat satu surat yang merujuk kes ku kepada doktor O&G Hosp Penawar tapi sebelum tu dia minta izinku dulu sama ada boleh atau tidak dia rujuk kes ku ini ke sana. Aku setuju bila mendengar nama doktor yang disebut tu sangat familiar memandangkan beberapa orang rakan sekerjaku juga bersalin dengan doktor H dan mereka memuji-muji cara doktor H. 

Suamiku enggan membawaku ke Hospital Penawar dan menghantarku pulang ke rumah. Aku seperti terpinga-pinga kenapa dia enggan menghantarku berjumpa doktor H. Sampainya hati dia melihat aku yang sedang menanggung kesakitan dah masuk malam ketiga. Tapi kemudian aku faham bila dia mula bersyarah padaku masa dalam kereta. Dia kata kalau jangkitan kuman, mesti dah dapat detect dalam urine. Dia kata lagi kalau dah sampai pergi jumpa 3 orang doktor dan ketiga-tiganya tak dapat mengesan sakitku ini, ikhtiar cara lain sebab kalau jumpa doktor lain lepas ni pun mungkin sama juga malah mungkin 'teruk' aku disiang (diseluk dsb). Ini meyakinkan kami yang sakitku ini bukan sakit biasa tapi lebih kepada sakit mistik (gangguan). Aku tak boleh nak ceritakan di sini apa syarahannya malam tu tapi aku setuju dengan pandangan dan syarahannya. Malah dia memang ada ilmu dalam bidang ni dan aku sanjung tinggi ilmu hakikat yang dimilikinya. Makhluk halus memang wujud dan bila kita lemah / kurang berzikir mengingati Allah, dengan mudah makhluk tu menguasai badan kita dan menyakitkan jasad kita. Patutlah semasa di luar klinik tadi aku melihat suami bercakap panjang dalam handphone. Mungkin dia ada merujuk kes ku ini kepada beberapa orang alim. Selepas menghantarku pulang, dia membelikan aku nasi bungkus memandangkan kami belum dinner malah aku memang tak makan dari siang. Kemudian dia bergegas keluar semula untuk ke salah sebuah masjid di Pasir Gudang dengan membawa 4 botol besar (botol 20 liter) untuk mengambil air masjid (yang dalam kolah) untuk buat 'ubat' sakitku ini. Malam tu juga dia memandikan aku dengan 2 botol besar air masjid dan pada masa dia menjirus air ke badanku, aku dapat rasakan seolah aku mandi ais, sejuknya tak terkata. Tapi setahuku, bila kita rasa sejuk sangat tu sebenarnya makhlus halus yang kat dalam tu rasa panas sangat, wallahua'lam. Sebelum tidur suamiku mengarahkanku minum air dalam botol 1.5 liter tapi aku tak minum pun sebab aku tak tahu tu air apa, tapis ke tidak. Lagipun tengok botolnya buruk je entah botol apa yang dipakainya (Bila kita terlalu cerewet dan memikirkan itu ini, maksudnya ada bisikan tak baik / gangguan dalaman yang tak bagi / tak mahu kita minum air tu).


Masih seperti malam sebelumnya, sepanjang malam aku sukar tidur lantaran sakit yang datang setiap 10 minit ni. Dan aku hanya bertahan sepanjang malam sambil memikirkan sampai bila aku harus menahan / boleh menahan kesakitan ini. Ada masa mulutku tak boleh terkawal dari merapu yang bukan-bukan seperti "baik mati je la kalau macam ni". Aku berfikir apa pengakhiran sakitku ini, apa penawarnya.. Dah mandi air masjid pun sama je sakitnya. 

Keesokan paginya, (Jumaat) seawal 7 pagi suamiku dah bersiap untuk pergi kerja. Sebelum tu dia memesanku agar minum air dalam botol yang ditunjuknya malam tadi. Aku menjawab dengan nada tegang, "Air apa tu?"
Lantas dijawabnya, "Ko ingat laki ko ni nak bagi minum air bukan-bukan ke?"
Aku pula jadi takut bila nadanya seakan marah. Aku jawab dalam hati, ye lah, nak tahu juga air apa.. air tapis ke tak..
Dia seakan mendengar jawapanku dan menjawab "Air masjid lah"

Sebaik sahaja dia keluar pergi kerja, aku pun gagahkan diri untuk minum secawan air masjid yang diambil oleh suamiku malam tadi dari dispenser masjid. Kalau ikutkan hati sebenarnya tak mahu minum memandangkan aku ni penggeli, entah botol air apa yang dia guna, bekas mulut siapa dan macam-macam lagi la yang ku fikir. Tapi niat hati nak cepat baik, maka aku dapat lawan kecerewetan aku ni. Sebaik sahaja aku minum secawan air masjid, sakitku makin kuat tapi kemudian hilang dan aku dapat tidur. Alhamdulillah, nikmatnya bila dapat qada' tidur yang dah 2 malam aku tak dapat langsung. Aku terjaga dalam pukul 9 lebih maksudnya aku dapat tidur selama 2 jam. Itu dah cukup baik bagi aku kalau nak bandingkan dengan saat-saat tak dapat tidur langsung. Lepas bangun, aku minum lagi secawan air masjid dan Alhamdulillah, lepas minum cawan kedua ni, aku mula rasa nikmat sihat yang mana sakit 'contraction' tiap 10 minit tu mula berkurang iaitu dari 10 minit sekali menjadi setengah jam sekali. Apabila aku dapat rasai perbezaan ketara, aku mula rajin minum air masjid tu. Menjelang petang, hampir setengah botol 1.5 liter tu dapat aku minum. Syukur sangat, walaupun belum sembuh secara total, tapi dengan berkurangnya kesakitan tu dah cukup nikmat bagi aku. Bila kita dah rasa sakit yang teruk, sakit sikit-sikit tak terasa sangat pun. Tapi rasa tegang yang amat sangat tu masih datang sekali-sekala sehingga ke malamnya namun aku teruskan minum air masjid tu. Dan malam tu, untuk malam kedua, aku dimandikan air masjid oleh suamiku sebanyak 2 botol lagi. Beza juga rasanya masa mandi malam kedua ni. Sebab aku dah mula rasa stabil, tak meraung kecil seperti malam semalam. Aku juga lebih rasa tenang masa mandi dan aku tak lagi merasakan kesejukan seperti air batu semasa air masjid tu mencecah tubuhku. Malam tu barulah aku dapat tidur kerana beransur sembuh, Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran kupanjatkan kepada yang Maha Esa. Kadang aku rasa macam mimpi je bila dapat sembuh seperti sediakala. Kadang aku rasa ajaib juga dapat sembuh setelah 3 hari 3 malam bertarung / berjuang menahan sakit. Kadang aku rasa ini mungkin sakit yang Allah bagi aku rasa dahulu sebelum tiba masa nak bersalin nanti. Yang pasti, aku kena bersyukur banyak-banyak kepada Allah kerana baby aku selamat (hanya ibunya yang sakit) dan dengan izin-Nya juga aku sembuh. Aku juga kena berterima kasih kepada suamiku yang tabah menjagaku sepanjang aku sakit. Sepanjang perkahwinan ni, belum sekali pun aku menjaganya sebab dia belum pernah sakit lagi tapi dia dah banyak kali jaga aku dalam sakit memandangkan dah berpuluh kali aku sakit sepanjang tempoh perkahwinan ni. Aku tak dapat bayangkan kalau dia yang sakit, mampu ke aku menjaganya sebaik dia menjaga aku yang sedang sakit. Tapi aku positifkan diri aku dengan mengingat satu perkara. Apabila isteri sakit, Allah nak angkat darjat suami yang menjaganya dan begitulah apabila suami sakit, Allah sebenarnya nak angkat darjat si isteri.

Trimester Kedua

Minggu ke-13 dan 14
~ Setelah 12 hari aku memaksa diri untuk berpuasa, akhirnya atas nasihat gynae, aku berhenti berpuasa kerana untuk orang yang alami alahan mengandung yang teruk macam aku, berpuasa hanya akan memudaratkan kesihatan aku dan perkembangan bayi yang ku kandung ini. Walaupun agak lemah untuk ikut nasihat doktor mengenangkan banyaknya bilangan hari yang perlu ku ganti nanti (lebih kurang 17 hari), namun aku kena akur juga demi si kecil dalam rahimku ini. Kasihan juga dia bila tak dapat nutrien yang secukupnya dari ibunya. Sudahlah tak makan nasi, bubur juga aku tak lalu makan. Jadi aku perlu cari satu makanan yang boleh bagi aku rasa kenyang. Bagi aku dapat rasa kenyang sekejap pun jadilah sebab dah berjam-jam malah berhari-hari aku rasa lapar sangat, mungkin dah lali bagi aku. 

Hasil checkup mengandung kali kedua ni, berat badanku turun 1.3 kg. Checkup yang lepas beratku 47.6kg, checkup yang kali ni tinggal 46.3 kg. Sedihnya. Checkup kali ketiga pula aku tak dapat tahu berat badanku kerana pada masa tu penimbang hospital KPJ sedang diservis. Entahlah aku pun tak faham kenapa penimbang pun perlu diservis, atau mungkin aku yang salah dengar. Tapi beberapa hari sebelum aku buat checkup ketiga tu aku ada timbang berat aku di sebuah mall di JB, hanya masukkan duit 20 sen dan kemudian akan terpapar di skrin berapa berat kita. Aku kurang ingat angka yang tepat tapi kalau tak silap aku berat aku masa tu lebih kurang 45 kg sahaja atau mungkin sekitar 44 kg lebih. Ini bermakna jumlah berat aku telah turun sebanyak lebih kurang 3 kg daripada sebelum mengandung. Gynae aku kata lain penimbang lain bacaannya. Kalau nak tahu graf berat kita dengan lebih tepat adalah dengan menggunakan satu penimbang yang sama sahaja sepanjang tempoh mengandung.


Minggu ke-15
~ Bermulanya bulan Syawal yang mana impian aku adalah untuk makan juadah raya sepuas-puasnya tapi soalnya selera makan aku dah kembali normal atau belum? Raya pertama aku balik rumah mak sekejap. Mak tak masak banyak sebab mak tak sihat dan terbaring je dah seminggu. Yang aku dapat lihat ialah lauk lodeh. Juadah lain rasanya orang yang bagi misalnya soto dan rendang ayam. Ternyata selera makanku belum pulih betul. Aku boleh paksa diri makan tapi sikit je. Memandangkan tak ada rezeki aku untuk makan ketupat mini (mungkin dah habis sebab aku sampai rumah mak dah petang), aku hanya ratah lauk lodeh. Aku korek tauhunya sahaja at least rasa kenyang sikit dengan makan banyak tauhu. 

Raya kedua suami ajak aku pulang beraya di kampungku. Di kampung, aku mula selera makan, tapi tabiatku ratah lauk sahaja. Mak su ku masak lauk telur masak pindang (lemak kuning campur hirisan daun kunyit), aku ratah telurnya sahaja. Nasi masih lagi menjadi musuhku, tapi ketupat mini aku boleh makan. Lagi pula kalau digandingkan dengan rendang, memang menyelerakan. Terutama di rumah Mak Ngah ku, memang rezeki aku dan baby agaknya, seolah tahu aku memang teringinkan rendang lebih-lebih lagi dari air tangan Mak Ngah yang aku dah labelkan pandai masak. Asam pedasnya 'mabeles', boleh buka kedai makan. Aku makan dengan berselera sekali ketupat mini dengan rendang ayam tua masakan Mak Ngah. Mak Ngah masak rendang tak terlalu kering (seperti kari pekat) membuatkan aku serasi betul dengan lauknya yang boleh dicecah dengan ketupat mini. Kalau ikut hati mau saja aku minta Mak Ngah bungkuskan untuk aku bawa balik tapi kenangkan baru raya ketiga, mesti ada ramai lagi tamu yang akan datang. Ye lah, kata orang, "Makan ingat orang belakang".. hihi..



Minggu ke-16
~ Tenaga ku beransur pulih. Selera makanku juga sedikit bertambah dari sebelum ni zero. Namun aku tetap masih selektif dalam pemakanan. Entahlah tekak aku yang cerewet atau pembawakan baby ni. Aku dah boleh makan lebih sedikit dari yang sebelum ni tapi nasi masih belum boleh aku terima sepenuhnya. Berat aku juga dah naik sedikit kepada 48.2kg manakala berat baby masa ni 113g. Alahai ringannya baby.. 

Muntah-muntah? masih lagi. Waktu yang hampir wajib muntah adalah sekitar waktu bangun pagi dan malam sebelum tidur. Mungkin sebab dua waktu ni kita gosok gigi. Mungkin juga sebab dua waktu ni perut kita kosong jadi angin banyak dalam perut membuatkan kita rasa loya dan senang nak muntah. Cuma dah kurang kekerapannya berbanding sebelum-sebelum ni.


Minggu ke-17 hingga 20
~ Orang kata alahan mengandung cuma 4 bulan je, lepas tu pantang jumpa makanan semua boleh masuk. tapi tak bagi aku. Proses recovery untuk aku agak lambat sedikit. Walaupun dah 5 bulan mengandung, aku masih alami morning sickness yang mana biasanya pagi dan malam aku muntah. Kadang, apa yang aku makan malam tadi pun akan keluar balik dalam bentuk muntah masa kumur-kumur waktu bangun pagi. Situasi yang aku nak elak kalau boleh adalah kumur-kumur waktu pagi kerana waktu itulah banyaknya air liur dalam mulut dan aku kena berkumur sebanyak mungkin untuk hilangkan rasa lendir air liur tu, tak kurang dalam 10 kali kumur setiap pagi. Mana mungkin untuk kita elak dari berkumur waktu pagi kan sebab masa ni la kita kena bersihkan mulut, gosok gigi dan ambil wuduk. Sesetengah orang yang aku jumpa ada mengatakan, muntah-muntah ni tak semestinya sampai 5 bulan, ada orang sampai 6 bulan. Oh kalau macam tu, aku perlu tunggu sebulan lagi untuk tempuh alahan ni.




Minggu 21-24
~ Dalam tempoh ni tak begitu banyak ragam yang ku hadapi. Cuma aku dah semakin yakin dengan gerakan baby dalam perut yang mana mula aku rasakan sejak pertengahan minggu ke-20. Mungkin sebenarnya baby dah ada membuat gerakan lebih awal tetapi memandangkan aku first timer preggy jadi aku lambat dapat mengesan gerakan baby. Sebelum tu mungkin aku ingatkan itu angin dalam perut. Tapi bila dah semakin kerap aku mula terfikir, inikah gerakan baby setiap kali ada bubble yang seolah bergerak di dalam perutku. Aku mula banyak membuat carian dan bacaan dari internet. Thanks to all mommies yang sudi berkongsi pengalaman merasai gerakan baby juga penerangan tentang bagaimana rasa gerakan tersebut. Dan aku setuju dengan mereka yang mengatakan rasa gerakan baby ni adalah seperti ada bubble yang bergerak dalam perut kita. Sekejap je pergerakan tu tapi cukup bermakna bila first time merasainya. Rasa teruja dan seronok pun ada. Maklumlah inilah pengalaman yang aku tunggu-tunggu malah seawal minggu ke-16 tak silap aku, dah ada yang mula bertanyakan aku sama ada aku dah dapat merasai gerakan baby dalam perut atau belum. Apabila aku rujuk kepada gynae, dia mengatakan bergantung kepada orang. Ada orang cepat ada yang lambat, contohnya dia, masa first baby dia dapat rasa gerakan baby dalam perut masa bulan ke-7 sebab saiz fizikalnya yang gemuk, katanya. Jadi adakah kalau orang yang kurus lebih cepat merasai gerakan tersebut, Wallahua'lam. Tapi kalau menurut pembacaan aku hasil carian google, kita akan mula merasai gerakan baby sekitar minggu ke-18 hingga 24 kalau tak silap.

Memandangkan entri ni aku tulis menjelang minggu ke-30 kehamilan, aku dah tak berapa ingat dalam minggu ke berapa aku alami cirit-birit sebab ada peristiwa yang aku sempat catit dalam 'diari' ada yang tidak. Aku tak pasti adakah aku sahaja yang alami atau situasi ni adalah normal bagi kebanyakan ibu mengandung. Yang pasti aku mula sedar akan kesensitifan perut aku ni. Tak boleh salah makan sedikit, pasti perut aku jadi sebu / senak / meragam disertai dengan cirit-birit. 

Pagi tu aku beli sarapan roti canai kerana memasuki trimester kedua ni aku mula sedar yang aku suka bersarapan roti canai. Aku tapau sekali lontong yang mana kuah lontongnya masih panas berasap lagi. Balik kerja tengah hari aku panaskan kuah lontong dan makan sekali dengan nasi himpitnya sebagai juadah makan tengah hari. Lewat petangnya aku mula rasakan perut aku bergelodak dari dalam. Sehingga ke malam, 4 kali aku cirit-birit. Seingat aku, aku tak ada makan lain selain roti canai dan lontong. Fikir punya fikir, mungkin kuah lontong tu yang buat aku cirit-birit. Bukan keracunan makanan, tapi lebih kepada perutku alah dengan kuah lontong, menurut suamiku. Hmmmm... pelik kan. Sebelum mengandung tak pernah pula cirit-birit lepas makan lontong.


Minggu ke-25
~ Sekali lagi aku lalui keperitan cirit-birit semasa kehamilan. Puncanya aku masak kari daging korban beberapa hari selepas Raya Haji. Kebetulan masa tu aku dan suami berhasrat nak makan kari daging, boleh sejiwa pula tekak kami malam tu. Malam tu kami makan nasi dengan kari daging dengan berseleranya. Aku suka kari pekat so aku masak kari pekat tapi santan sekotak tu aku guna separuh je. tak maulah banyak sangat santan, banyak lemak nanti.. hehe. Keesokan paginya bangun dari tidur, aku rasa tak sedap perut. Dah membuang pun masih rasa tak sedap. Rasa macam sebu dan bergelodak. Sampai di tempat kerja, dua kali aku keluar masuk toilet. Badan aku rasa lemah. Seawal jam 8 pagi aku dah telegram boss minta balik / pergi klinik sebab aku bukan setakat cirit-birit malah muntah juga yang mana ni bukan sebab morning sickness tapi lebih kepada simptom keracunan makanan. Alhamdulillah, sebaik aku jumpa boss dia benarkan aku balik berehat dengan melihat dari muka aku yang memang muka orang sakit katanya. Aku guna peluang dapat balik awal tu untuk tidur je di rumah. Sampai ke malam, perut aku masih belum stabil dan aku minta suami hantarkan aku ke klinik. Doktor bagi banyak ubat, ubat sakit perut, ubat tahan muntah, ubat buang angin dan lagi satu ubat apa aku tak ingat. Aku sebenarnya was-was juga nak makan sebarangan ubat sebab tengah mengandung ni. Tapi bila teringat kata-kata doktor, kalau dah 6 bulan ni, baby dah besar, dah boleh makan ubat jadi aku tawakkal je la telan ubat dan minum ubat yang macam sirap ubat batuk tapi warna putih susu dan rasa peppermint. Memang sedap rasanya. Bila dah start buang angin atau dengan kata lainnya kentut tak lama lepas makan ubat, barulah aku rasa ok sikit. Selama 2 hari aku makan ubat doktor, barulah perutku kembali stabil. Mungkin aku alah dengan lauk rempah atau mungkin rempah kari daging Adabi tu yang buat perut aku alah. Suami aku kata mungkin sebab aku masukkan kesemua rempah tu sepaket. Hmm entahlah mungkin juga. Tapi aku rasa tak la banyak sangat pun rempah sepaket kecil tu, setahu aku memang tu untuk sekali masak. Malah lepas kejadian tu, selama 2 malam berikutnya suami aku masih makan lauk kari daging masakan aku tu dengan 'steadynya' tanpa cirit-birit macam aku pun. Kesian dia, bila aku sakit dia kena la survive sendiri mujurlah dia jenis yang boleh masak sendiri walaupun setakat masak nasi dan goreng telur. 


Minggu ke-26
~ Bermulanya cuti sekolah seminggu sempena Deepavali. Aku 'bercuti' di rumah ibu angkatku di Kluang memandangkan suamiku perlu outstation selama 3-4 hari di Kulai. Aku memintanya menghantar aku ke rumah ibu kerana bimbang tinggal seorang diri di rumah. Aku memikirkan andai kata berlaku apa-apa kecemasan, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh hantarkan aku ke klinik / hospital atau kalau aku sakit, sekurang-kurangnya ada orang yang boleh tolong tengokkan makan minumku. Maklumlah, baru lebih kurang seminggu merasai pengalaman cirit-birit, jadi penting juga untuk aku beringat dan berjaga-jaga. Lagipun aku sebenarnya takut duduk seorang diri waktu malam. Janganlah hero Mama ni jadi penakut juga nanti.. hihi. Bila dah berjauhan dengan suami barulah kenal erti rindu dan bersyukur. Buruk-buruk pun dia tetap suami kita, yang menjaga makan minum dan sakit pening kita bila kita memerlukan. Dialah juga peneman tiap malam untuk orang yang penakut macam aku ni. 

Trimester Pertama

Minggu ke-4
~ Aku demam 3 hari. Dapat MC 2 hari (hari pertama demam public holiday). Aku banyak terbaring dan tidur je sepanjang 3 hari ni. Aku pun pelik kenapa demam ni tiba-tiba je. Pagi 13hb tu sebaik bangun tidur aku masih rasa sihat. Kemudian suamiku bersin di sebelahku (dua-dua belum bangkit dari katil) lantas cepat-cepat aku bangun dan beralih ke katil bilik sebelah untuk sambung tidur memandangkan hari cuti. Bila aku terjaga dari tidur, aku dah rasa demam. Masa tu aku fikir, demam ni nak datang tiba-tiba je, langsung tak ada tanda-tanda. Atau mungkinkah aku jangkit dari virus bersin suamiku pagi tadi (walaupun dia tak demam). Tapi demam kali ni memang pelik sebab tak ada selsema, tak ada batuk, cuma demam macam lemah-lemah.


Minggu ke-5
~ Aku mula saspen bila tarikh yang sama seperti bulan lepas tapi untuk bulan ini belum ada tanda nak datang bulan. Aku tak mahu terlalu mengharap walaupun jauh di lubuk hati sebenarnya memang mengharap pun sebab dah usaha gigih untuk berTTC sejak akhir-akhir ni, hihi. Aku cuba bersabar menunggu, manalah tahu mungkin lewat sehari dua. Aku mula terfikir sesuatu bila kawan sekerjaku bertanyakan punca aku demam, "Mengandung ke?" 
Aku jawab "Tak lah"
 Masa tu aku mula berfikir, kenapa kak W tanya aku demam sebab mengandung ke. Mungkinkah betul sebab cik P aku belum datang lagi ni walaupun dah due. Aku mula berkira-kira untuk membeli set UPT untuk membuat UPT test sendiri manalah tahu betul kata kak W tu. Selepas 3 hari cik P aku lewat, maka pagi-pagi hari keempat tu aku mulalah cekalkan hati untuk buat UPT. Takut ada, excited pun ada. Takut kecewa kalau -ve, tapi excited nak tau sebab belum datang bulan. 

Aku tak terus tengok resultnya, takut kecewa nanti takde mood pula nak mandi, errr boleh pula macam tu. Aku sibuk-sibukkan diri dengan mandi dan bersihkan diri dulu kemudian bila dah selesai mandi barulah aku kuatkan diri untuk tengok result UPT tu. Sementara tu, semasa mandi aku dah berimaginasi sendiri, kalau double line, macam mana ye reaksi aku bila happy. Tapi kalau single line, macam mana reaksi sedih aku agaknya. Usai mandi, aku jeling sedikit result UPT yang aku letakkan di tepi sinki. Macam tak percaya bila nampak bayang dua garisan. Ye, double line yang amat jelas dan terang, tak samar-samar langsung. Aku senyum sambil mengucapkan syukur berkali-kali. Lantas aku kejutkan suamiku yang sedang tidur. Aku hanya menunjukkan result UPT tu tanpa berkata apa-apa. Kemudian dia tanya, apa ni tanda tak faham. Aku jawab lah yang aku mengandung. Dia cool je sambil pesan kat aku, jaga baik-baik kandungan ni. Sebelum pergi kerja, aku tunjuk kat dia lagi sebab tadi baru bangun tidur dia tak berapa nampak sebab tak pakai spec. Aku pun terangkan kat dia tentang makna result kalau satu garisan dengan dua garisan. Pagi tu aku datang kerja dengan hati yang berbunga-bunga. Yeahhhh finally.. Selama ni dengar je berita kawan-kawan mengandung, sekarang baru dapat rasa sendiri. Ikutkan hati sebenarnya tak sabar nak bagitahu kawan-kawan / family tapi aku sentiasa beringat, jangan hebahkan sangat kalau baru-baru ni, sebab apapun boleh jadi. Orang kata 3 bulan pertama ni adalah saat-saat genting dan tak elok kalau happy sangat / canang satu dunia. Aku hanya bagitau bff, sepupu dan adik yang aku rapat. 

Bermulanya cuti sekolah dua minggu. aku ambil cuti sehari awal sebab ada urusan penting yang perlu diselesaikan. Masa ni balik kampung di N9. baru seminggu dapat merasai keseronokan mendapat berita gembira hamil anak pertama. Sebelum balik kampung ada tanya gynae, boleh ke jalan jauh merentasi 2 buah negeri. Doktor kata boleh asalkan jangan lalu jalan kampung yang berbonggol-bonggol / tak rata. Masa ni belum rasa mabuk / mual / pening dsb. Selera makan pun ok lagi. Nampak rebung rasa kecur je siap minta Mak Ngah bagi sebungkus untuk masak bila balik nanti. Boleh makan macam biasa. Siap kena puji dengan makcik-makcik kat kampung "Bagus eh tak mabuk-mabuk". 
Aku jawab, "Belum lagi kot". 
Makcik aku jawab "Tak lah, patutnya masa ni dah mabuk-mabuk (sebulan lebih kehamilan)". Aku jawab lagi "Ikut mak kot. Mak masa mengandung takde mabuk-mabuk pun. Kata orang biasa kita ikut mak, kalau mak tak mabuk kita pun tak lah"

Minggu ke-6 dan 7
~ Masa ni masih dalam minggu pertama cuti sekolah. Bermulanya episod ngeri dalam hidup aku yang mana pertama kali aku rasakan iaitu "penyakit" sesetengah ibu mengandung peringkat awal kehamilan iaitu alahan / mabuk mengandung. Aku melalui pengalaman yang bagi aku mengerikan sebab boleh dikira kesemuanya datang secara pakej bermula minggu ke-6 inilah. Hasil pembacaan aku dari internet juga ada menyatakan mabuk / alahan mengandung akan dirasai seawal minggu ke-6 kehamilan. Ya Tuhan.. tak ku duga sebegini awal alahan yang kurasai. Rasanya belum pun puas untuk aku kecapi nikmat khabar gembira mengandung ni, aku dah kena lalui episod duka (sementara) yang digeruni oleh kebanyakan ibu mengandung. Teringat kata-kata kawanku, alahan mengandung ni la yang tak sanggup untuk ditempuh masa mengandung. Dia dah mengandung 3 kali, tiga-tiga kali juga dia tempuh alahan mengandung, tapi orang kata sebenarnya bagus alami alahan mengandung ni. Aku pun ada terbaca kat beberapa blog tentang kebaikan mabuk mengandung. Cuma aku tak pernah menduga seteruk ini rupanya pengalaman mabuk mengandung. Mungkin sebab sebelum ni aku tak pernah ambil kisah tentang pengalaman mengandung kawan-kawan memandangkan title aku sebelum ni yang masih lagi bergelar anak dara membuatkan aku tak pernah ambil kisah situasi ibu mengandung. 

Selama hampir 10 hari aku terbaring seperti orang yang sakit kuat kerana mengalami morning sickness yang sangat teruk. Masalahnya morning sickness yang aku alami bukan setakat waktu pagi tapi bermula dari celik mata waktu pagi hinggalah nak tidur waktu malam. Sepanjang masa aku terbaring je tak kira siang dan malam. Ada masa aku tak larat langsung untuk bangun makan dan mandi. Waktu tu aku rasa down sangat apatah lagi apabila selepas aku makan secubit makanan dan makanan itu keluar balik dalam bentuk muntah. Masa tu aku rasa seperti nak menjerit, menangis tak payah cakap. Bayangkan aku tak boleh makan apa-apa langsung, kesemuanya akan dimuntahkan semula. aku cuma bergantung kepada 2-3 biji buah kurma sebagai pembekal tenaga memandangkan aku tak boleh makan apa-apa. adakalanya lepas makan kurma dan minum susu pun aku akan muntah. Dalam sehari ku kira selang dua jam aku akan muntah. Kalau banyak yang dapat aku makan, banyaklah muntahku, penuh satu sinki. Kalau sikit makan / tak makan langsung kecuali minum air putih, muntahku hanya berbentuk air jernih sahaja la. Tapi cukup menyakitkan sebab angin yang menolak dari dalam perut untuk mengeluarkan muntah tu melalui kerongkong, membuatkan badan kita jadi lembik sangat. Sudahlah lembik kerana tak makan, lembik kerana muntah pula. Waktu tu, aku pesan suami supaya belikan aku pelbagai jenis buah. Sekurang-kurangnya bila aku kurang minum air, aku dapat khasiat air dari buah-buahan, juga dapat meredakan loya tekakku ini. Aku teringat pesan gynae masa checkup pertama pengesahan kehamilan masa minggu ke-4. Dia ada berpesan kalau aku alami mabuk yang teruk, segeralah berjumpa dengannya kerana mungkin hormon baby aku terlalu tinggi. Soalnya, mana mampu aku pergi sendiri kalau tak ada orang yang bawa ke hospital. Suami aku kadang aku rasakan dia tak peduli pun kesakitan aku ni atau mungkin dia berhati kering. 



Minggu ke-8
~ Akhirnya selepas seminggu aku terlantar di perbaringan, aku kuatkan diri untuk memandu sendiri ke hospital KPJ. Di sana aku diperiksa  urine untuk memastikan bahawa tiada hormon bayi dalam urine sebab kalau positif, konfem aku akan ditahan di wad. Alhamdulillah urine aku negatif dan doktor menyuntik aku dengan ubat tahan muntah dan kemudian aku kena drip sebotol air. Selepas itu baru aku rasa kuat sedikit dan seperti dapat tenaga sedikit daripada sebelum-sebelum ni.


Minggu ke-9 dan 10
~ Bermula semula sesi persekolahan untuk penggal kedua yang mana aku harus juga gagahkan diri untuk pergi kerja. Kalau ikutkan hati dan badanku yang masih lemah ni rasanya mau saja aku cuti 3 bulan supaya dapat lah aku berehat sepuasnya sepanjang trimester pertama kehamilan ini. Di tempat kerja, aku masih alami muntah-muntah dan mabuk hinggakan aku banyak berehat dan tidur je. Mujur pada masa tu kawan-kawan pun faham sebab ada yang pernah alami. Aku masih belum kuat sebab masih belum mampu makan apa-apa. Bayangkanlah diam tak diam dah dua minggu aku tak jamah nasi langsung malah tiada makanan pun yang boleh membuka selera ku. Orang kata tekak Melayu, mesti nak makan nasi juga dalam satu hari. Tapi sekarang, aku rasa macam tak percaya sebab kalau dulu, sehari pun tak jumpa nasi aku dah rasa macam menggigil tubuh ni sebab kelaparan / lembik. Ni dah 2 minggu tak makan nasi, tak dapat aku nak terangkan macam mana lembiknya badan aku kerana tak ada tenaga. Malah bubur pun aku tak begitu lalu makan, tapi bolehlah juga jamah walaupun tak banyak. Setengah mangkuk pun susah nak habis. Aku cuma makan beberapa suap je tu pun paksa diri juga sebab terlalu lapar. Kadang tak sempat pun makanan tu bertukar menjadi tenaga sebab ia dah lebih dulu keluar melalui muntah. Aku banyak bergantung kepada kurma dan buah-buahan khususnya tembikai. Patutlah nabi sarankan orang mengandung supaya makan tembikai.. sebab tembikai mengandungi banyak air. Airnya dapat memberi badan kita sedikit tenaga dan rasa tembikai yang juicy dan manis tu boleh mengurangkan sedikit loya-loya / mual yang dialami oleh ibu mengandung sepanjang trimester pertama kehamilan.

Aku mula deactivate facebook memandangkan niat ini aku dah pasang sejak sebelum mengandung lagi dengan harapan aku dapat tumpukan pada penjagaan kandunganku ini dan yang lebih penting ialah aku dapat mengawal 'nafsu kepoh' dari menghebahkan pada umum yang aku tengah mengandung. Aku tak mahu jadi seperti sesetengah orang yang tiap pengalaman mengandungnya dari muntah-muntah / mabuk-mabuk hinggalah bersalin nak dicanangnya satu dunia fb. Tak dinafikan kadang kita gunakan fb sebagai tempat untuk meluah apa yang kita alami dan rasai tapi tak semua orang akan sependapat / berpihak pada kita. Lumrah hidup, ada yang suka, ada yang tak suka. Ada yang boleh terima, ada yang tak. Dan yang lebih penting, adalah kita perlu jaga sensitiviti orang lain khususnya yang belum kahwin / belum ada anak. Aku juga selalu merasakan perasaan yang sama bila kawan-kawan berkongsikan kegembiraan mereka mengandung, dapat anak dsb. Oleh itu aku tak mahu ada orang lain yang turut terasa dengan luahan kegembiraan / pengalaman aku mengandung bila aku tak boleh kawal diri dari meluahkannya di fb. Malah lebih teruk lagi, kalau orang lain / kawan kita terasa dengan status annoying kita sampai perlu shut down fb dia. Adik aku sendiri tutup fb nya kerana jelek dengan kawannya yang baru kahwin dan kemudian sentiasa update situasinya pasal morning sickness dsb. 


Minggu ke-11 dan 12
~ Bermulanya bulan Ramadan. Sepatutnya bulan Ramadan adalah bulan yang dibanggakan oleh ibu-ibu mengandung kerana dapat berpuasa penuh sebulan tanpa perlu mengganti / qada' puasa. Walaupun aku lembik tak bertenaga, aku tetap tunaikan kewajipan aku sebagai umat Islam dengan berpuasa di bulan Ramadan. Tapi rutin harian aku sepanjang awal Ramadan ini ialah bangun jam 5 pagi untuk sahur kurma dan air susu / air putih, kemudian aku akan tidur sekejap. Bangun semula sekitar 6.30 untuk bersiap pergi kerja, di tempat kerja seperti biasa aku akan sambung berehat dan habis je waktu sekolah aku akan cepat-cepat pulang ke rumah untuk tidur hingga ke petang. Aku akan bangun petang untuk pergi beli makanan di bazar Ramadan yang tak jauh dari rumah. Pernah seorang peniaga tegur aku, mabuk-mabuk pun larat jalan eh? Aku terpaksa. Kalau aku tak bangun pergi cari makanan, aku nak buka apa? sudahlah hanya berbekalkan kurma waktu sahur setakat 2-3 biji, takkanlah buka pun aku nak makan kurma sahaja. Aku juga kena kuatkan diri tahan loya dan tak bertenaga ni sebab aku tak boleh harapkan suami aku balik bawa makanan memandangkan dia balik kerja biasanya dah malam atau kalau paling awal pun lepas maghrib. Tapi aku memang tak boleh harapkan suami belikan makanan sebab di waktu ini tekakku amat cerewet malah kadang-kadang makanan yang aku beli pun aku tak makan sebab takde selera langsung. Aku pernah kecil hati dengan suami aku bila dia balik dari bazar hanya beli makanan untuk dia seorang sahaja. Untuk aku, mana? Dia langsung tak fikir ke isterinya kelaparan dan lembik ni yang dah berminggu-minggu tak makan nasi dah rasa macam mayat hidup je ni. Tapi sebaliknya aku yang dimarah semula kerana dia takut tersalah beli. Kalau salah beli, aku tak makan. Sudahnya membazir je. Bila aku fikir balik, betul juga. Aku hanya akan tahu apa aku nak makan kalau aku yang tengok dengan mata sendiri dan buat pilihan sendiri. Dalam keadaan tekakku yang amat cerewet dan loya-loya ni aku tak boleh pesan sesiapa untuk belikan makanan untuk aku. Tapi aku terharu juga selepas kejadian aku 'merajuk' dengan suami pasal makanan tu, sejak tu dia rajin belikan aku makanan yang agak-agak leh diterima oleh tekakku seperti kuih, taufufa atau ayam goreng sampai dua ketul yang mana kadang aku tak termakan pun sebab masa loya-loya ni aku tak perlu makan banyak, cukup secubit makanan dah boleh buat aku "kenyang". Kadang aku nak tegur suami pun tak sampai hati sebab takut nanti dia jadi serba salah pula beli salah tak beli pun salah. 

Tekakku mula mencari makanan western seperti chicken chop, spaggeti atau makaroni cheese. pernah sekali selepas waktu berbuka puasa aku ajak suamiku mencari restoran makanan western kerana aku nak makan kentang goreng dan chicken chop. Mahu juga dia turut kemahuanku walaupun dia jenis yang tak makan makanan moden melainkan nasi sahaja (tekak jawa). Bila selalu inginkan kentang goreng, akhirnya aku pergi beli sebungkus kentang goreng frozen di kedai frozen food tak jauh dari rumah aku supaya aku boleh goreng sendiri dan makan bila-bila masa aku teringin. Sepanjang alahan ini, aku mencari kentang kerana bagiku itu adalah makanan terbaik untuk menggantikan nasi memandangkan kentang juga adalah unsur karbohidrat. Kadang aku pesan suamiku agar belikan aku whipped potato KFC mangkuk besar sebab itulah satu-satunya makanan yang boleh aku nikmati malah mudah untuk memakannya hanya dengan menelan sahaja..hihi. bukan sahaja ia sesuai untuk orang yang tak ada gigi, tapi untuk orang yang tak ada selera makan sepertiku juga memandangkan teksturnya yang lembut dan halus. Teringat waktu adikku kemalangan patah kaki dan masuk wad semasa zaman sekolah dulu, itulah satu-satunya makanan yang dipesannya setiap hari kerana itulah satu-satunya makanan yang tak perlu dikunyahnya dan boleh ditelan terus memandangkan masa tu gigi depannya semua "rongak" akibat kejadian kemalangan motor. Kadang-kadang hingga ke hari ini kami masih menyakatnya bila teringatkan situasi itu.


No Pain No Gain

Dah memasuki minggu kedua bulan November. Ini bermaksud tinggal dua bulan sahaja lagi untuk melihat si kecil Muhammad yang di dalam perut ni lahir ke dunia ni. Bila sebut nama Muhammad dah tentulah si kecil ni bayi lelaki. Alhamdulillah tak kisah walau apapun jantina first baby Mama ni, asalkan sayang sihat dan selamat dalam perut Mama hingga lahir esok. 

Catatan ini ditulis sebagai kenangan untuk tatapan anak Mama bila dah besar nanti. Agar anak Mama ni lebih menghargai dan menghormati wanita serta mengagumi kebesaran dan kekuasaan Allah daripada proses terjadinya benih sehingga menjadi seorang bayi yang comel. Kata orang, wanita itu mulia kerana rahimnya kerana di situlah tempat bayi dikandung. Tapi wanita juga hina kerana rahimnya jika tak dijaga maruahnya dengan baik hanya untuk yang halal sahaja.

Memasuki minggu ke-30 kehamilan, pelbagai dugaan yang ditempuh bermula seawal minggu ke-6 lagi. Benar kata orang, pengalaman mengandung adalah pengalaman yang sangat berharga buat seorang wanita dan isteri. Hanya yang melaluinya sahaja yang dapat merasai pahit dan manis perjuangan sepanjang mengandung. Pengalaman itu harus dirasai sendiri bukan setakat mendengar dan membaca pengalaman orang lain. Kerana di situ terletaknya kekuatan seorang wanita yang biasa dilabel sebagai kaum yang lemah tetapi tidak dalam proses mengandung dan melahirkan. Wanita la insan yang paling kuat di dunia ini kerana mampu membawa seorang atau mungkin lebih insan kecil di dalam perutnya walau dalam apa juga situasi dan keadaannya selama mana si kecil itu berada dalam perut si ibu.



credit to :
http://teknikbuatblog.blogspot.com/2014/06/mengapa-blog-saya-tiada-pada-carian.html
http://www.hasrulhassan.com/2014/09/cara-buat-blog-sendiri.html