Saturday, 10 October 2015

Anak kuning.. pengalaman maha perit dan berharga

Jaundis.. perkataan yang aku baru kenal apabila baru bergelar ibu. Itu nama modennya atau istilah medic. Nama lainnya adalah kuning sebab kulit bayi akan jadi kusam dan boleh jadi gelap atau kemerahan seperti udang kena bakar, walaupun belum dijemur di bawah lampu fototerapi. Apabila ditekan dengan jari kita di bahagian muka atau badan, warna kuning pada bekas yang ditekan tadi akan jelas kelihatan sebaik sahaja kita melepaskan jari kita dalam kadar 5 saat atau lebih. Cara lain untuk mengenalpasti bayi kuning atau tidak ialah bawa ke luar rumah sekejap, tengok di bawah cahaya matahari bahagian mata putih bayi. Kalau kuningnya ketara boleh jadi dah tahap 2 atau 3. Kalau tak begitu ketara mungkin baru tahap 1. Cara ini hanya untuk kenalpasti bayi kita kuning atau tidak, bukan suruh jemur di bawah matahari. Aku lihat sendiri nurse klinik kesihatan ibu dan anak (KKIA) buat masa datang melawat aku dan baby. Masa tu awal lagi sekitar jam 9.30 pagi. Hari tu pula adalah hari keempat baby ku. Hari tu juga kami diarahkan ke KK untuk check kuning anak sebab ikut cara manual, nurse mengatakan jaundis anak aku dah tahap 2. Hari itu memang sepatutnya kami ke hospital penawar sebab memang kami disuruh check kuning anak pada hari ketiga bayi. Bacaan kuning anak aku semasa hari ketiga tu adalah 11. Kalau ikut nurse KK aku dah cuak dan cemas, sebab dengar dah tahap 2 maksudnya dah agak tinggi. Tapi bila rujuk kepada doktor di hospital penawar katanya tak perlu risau, 11 tu tak terlalu tinggi. Aku lega, pada masa tu tapi selepas aku dah faham tentang bacaan kuning ni baru aku rasakan yang kata-kata doktor tu tak relevan. Patutlah, dia cuma doktor part-time je di situ. Caj pun baru RM47 masa tu which is bagi aku sangat murah. Beza betul caj doktor pakar dengan doktor part-time sahaja. Kalau jumpa doktor pakar, masuk bilik doktor je dah kena caj dalam lingkungan RM100 iaitu caj konsultasi. Belum lagi caj ubat-ubatan dan lain-lain. Sekarang ni bila aku fikir-fikir balik, sebenarnya bacaan 11 tu dah agak tinggi untuk baby yang baru 4 hari. Kemungkinan besar bayi aku dah kena kuning bermula seawal hari kedua dan kuningnya makin menngkat pada hari ketiga. Cuma pada hari keempat sahaja aku dapat kesan anak aku kuning sebab nurse KK datang melawat dan aku dan suami bawa anak pergi check kuning kat private.

Hari keenam, nurse KK datang lagi, untuk check baby. Masa tu aku dah masuk fasa stress bila dikatakan kuning anak aku makin tinggi. Anak aku pula asyik tidur je, tidurnya lama pula tu. Nurse bertugas mendesak aku untuk ajak suami pergi check kuning anak, tapi yang sedihnya suami tak ambil berat sebab baginya kuning itu biasa. Aku minta nurse cakapkan sendiri dengan suami aku tentang bahaya kuning ni dan minta tolong nurse cakapkan juga padanya supaya bawa anak pergi check kuning. Aku sangat takut bila diceritakan tentang bahaya kuning, jika tinggi sangat boleh menyebabkan bayi hilang pendengaran, cacat otak dan sebagainya. Na'uzubillahi min zalik, mohon dijauhkan. Nurse juga ada menegur, kalau terlalu tinggi kuning anak boleh jadi sampai kena tukar darah. Petang tu aku dan suami pergi bawa anak ke KK untuk check kuning. Bacaan dah agak tinggi juga iaitu 14. Masih ada peluang untuk ikhtiar.. masih ada peluang untuk turunkan kuning anak atau sekurang-kurangnya jangan sampai bacaan tu naik dan naik lagi hingga ke tahap anak akan ditahan di hospital dan dijemur di bawah lampu fototerapi.

Keadaan ini berlarutan selama lebih kurang 2 minggu. Kuning anak aku di tahap antara 11-15. Apabila bacaan kuning anak turun, doktor arahkan aku untuk datang check lagi kuning anak 2 hari kemudian, tetapi apabila bacaannya meningkat atas kekal sama, doktor arahkan aku untuk datang lagi keesokan harinya, maksudnya setiap hari aku kena berulang-alik ke KK untuk check kuning anak, padahal kita baru lepas bersalin, sepatutnya tempat kita di rumah.. berehat.. Tapi bila anak kuning, memang x ada istilah rehat dan pantang bersalin yang sebetul-betulnya sebab setiap hari kita terpaksa keluar ke klinik untuk check kuning anak. Dukung anak ke sana ke mari, naik turun kereta untuk check kuning anak. Tengok tumit kaki anak yang halus tu dicucuk setiap hari untuk diambil darahnya untuk ujian kuning, mendengar anak menangis apabila kakinya dicucuk jarum. Itu belum lagi kalau anak kena tahan wad dan dijemur di bawah lampu fototerapi. Sungguh penat once dah bergelar ibu. Satu perjuangan untuk menurunkan kuning anak.. satu perjuangan untuk menyusukan anak dengan kerap iaitu setiap sejam, boleh jadi setiap setengah jam. Rehat entah ke mana, tidur entah ke mana. Kalau dapat tidur malam paling lama 2 jam itu dah cukup baik, tapi bila anak kuning, setiap jam kita kena susukan dia dengan susu badan.

Ada 1 hari tu bacaan kuning anak aku kekal 15 je, doktor bertugas terus keluarkan arahan bawa anak aku ke hospital besar dan dia mengeluarkan surat supaya anak aku ditahan di wad untuk jalani rawatan jemuran di bawah lampu fototerapi. Katanya lagi, kuning anak aku dah sampai kaki dan dia menunjukkan reaksi cemas. Masa tu baru aku rasa suami aku mula cemas, yang mana sebelum ni dia endah tak endah je bila anak kuning dan mengatakan normal baby kuning sebab perubahan alam. Susah juga nak bagi dia faham akan bahayanya kuning ni sampailah dia lalui sendiri bila kuning anak makin tinggi atau tak turun-turun sampai diarahkan ke hospital besar. Masa tu baru aku nampak dia call kakak abang dia untuk minta petua atasi kuning. Kalau tak jadi macam tu, mungkin dia masih ambil mudah tentang kuning anak dia. Dia tak sedar akan bahaya kuning.

Petang tu kami ke hospital KPJ untuk check kuning anak dan yang buat kami terkejut bila dapati bacaan lab KPJ jauh lebih tinggi dari KK iaitu 18 dan kalau ikut prosedur klinik kerajaan, bacaan 18 memang dah kena tahan wad. Untuk ibu yang berdarah O, kalau bacaan kuning anak 15, dah kena tahan wad, tapi sebab aku darah A jadi ambilkira yang bacaan 18 tu. Aku rasa macam tak boleh diterima logik akal, mustahil pagi tadi check kat KK, bacaannya 15 tiba2 petang ni jam 5pm bacaannya melonjak jadi 18. Sangat tak masuk akal! Doktor ada bertanya, nak masukkan anak ke wad atau tak. Aku memang tak ada pilihan untuk jawab tak kan sebab bacaannya dah 18! Dah sangat tinggi dan memang dah tahap wajib masuk wad @ kena jemur bawah lampu. Hari itu adalah hari yang paling sedih dan suram bagi aku sebab sebaik sahaja sampai di katil wad, anak aku seakan tak mahu lepas dari aku. Dia menangis je bila diletak dan sentiasa nak melekap pada badan aku. Sampai 2 jam lamanya dia dah melekap pun, bila kita nak letak dia atas troli dia, dia nangis. Last-last aku stress, aku minta staff KPJ buatkan dia susu fm sebab aku rasa baby aku tak kenyang sebab tu asyik nangis je. Pada mulanya staff tu keberatan sebab katanya di KPJ, hanya digalakkan susu ibu sahaja. Aku cuba explain kat dia, mungkin susu badan aku tak banyak atau belum keluar sebab tu anak aku asyik lapar je. Lagipun macam mana nak jemur dia dalam troli dia kalau dia asyik nangis je, lebih2 lagi sebab dah dibuka baju dan seluarnya, hanya dipakaikan pampers sahaja dan ditutup pula matanya. Mungkin juga baby takut atau sejuk air cond hospital.

Asalnya anak aku sepatutnya ditempatkan di bilik khas untuk jalani rawatan fototerapi tapi sebab aku pun minta satu katil untuk aku tidur juga di hospital, hospital benarkan untuk bawa baby sekali tidur sebelah katil aku. Staff KPJ mula sambung-sambungkan wayar-wayar atau peralatan fototerapi. Aku dibenarkan letak baby atas katil aku dan aku boleh baring sebelahnya. Ini memudahkan untuk aku bf dia sejam sekali. Tapi masalahnya anak aku tak mahu diletak langsung atas katil. Dia menangis je tak berhenti. Aku sentiasa kena pangku dia dan dodoikan dia. Kemungkinan besar dia takut sebab matanya ditutup dengan penutup khas. Bila dia menangis, penutup mata tu akan terlondeh jatuh ke hidung. Keadaan tu buat aku sangat cemas sebab lampu fototerapi sedang menyala n cahayanya sangat menyilaukan mata. Aku banyak berfikir yang buruk-buruk. Aku tak mahu terjadi apa-apa pada anak aku sebab bukan senang nak dapat anak tambahan pula aku kawin lewat. Aku tak mahu semasa aku sedang tidur, penutup mata anak aku terlondeh dan mata anak aku terdedah sepenuhnya kepada cahaya lampu fototerapi tu. Macam-macam yang buruk aku fikir. Badan aku letih Allah sahaja yang tahu. Anak aku betul-betul meragam apabila nak dijemur, seolah dia tak mahu langsung. Suami aku datang malam tu hantar makanan sebab tak ada makanan untuk aku yang hospital sediakan untuk malam itu sebab aku admit pun dah pukul 6 lebih petang. Aku langsung tak ada selera untuk makan. Aku makan sikit je itupun paksa sebab takut lapar tengah malam nanti. Hati aku tak keruan melihatkan anak menangis je tak berhenti. Ayah dia la yang bantu pangku dia dodoikan dia. Agak-agak dah senyap dan dah tidur, ayah dia pun letak dia atas katil dan jemur bawah lampu. Tak sampai 5 minit anak aku akan menangis semula. Buntu sangat tak tahu nak buat apa lagi. Allah je yang tahu betapa peritnya pengalaman tu malam tu. Aku sangat penat. Aku sangat ngantuk. Tapi kerana risaukan anak aku, aku langsung tak bolehh tidur. Aku tahan suami aku supaya jangan balik dulu, tolong teman aku sebab aku betul-betul stress lalui saat tu seorang diri tambah bila anak aku menangis tak henti. Suami balik lewat juga sekitar jam 1 pagi. Aku kuatkan diri untuk tempuh saat-saat genting tu. Aku sentiasa fikir macam mana nak lalui keadaan tu sampai pagi. Tak tidur sampai pagi kah aku?

Staff KPJ offer untuk amik anak aku dan mereka nak jagakan. Tapi aku bertegas enggan. Sebab aku risaukan penutup mata anak aku terlondeh dan mata anak aku kena cahaya silau lampu fototerapi tu. Double phototheraphy.. bukan single. maksudnya guna 2 lampu. Bayangkan je lah macam mana silaunya. Aku tetap berdegil sebab aku berpendapat hanya aku sebagai ibunya yang dapat menjaga anak aku dengan betul, tanpa cuai. Kalau staff nurse yang jaga, aku tak yakin. Sebab anak aku jenis yang tak reti diam, setiap kali dia bergerak dan menangis, setiap kali tu juga aku tengok penutup matanya terlondeh. Aku menyalahkan kualiti penutup mata tu kenapa x bagus? kenapa loose? kenapa tu kenapa ni. sampaikan aku request penutup mata lain yang kecil sedikit saiznya sebab saiz yang anak aku pakai tu mungkin longgar dan terlalu besar menyebabkan ia mudah terlondeh apabila bergerak-gerak.

Aku dapat juga lelapkan mata. Boleh tak bayangkan dengan keadaan kita yang tengah nifas tu, dengan badan kita yang sangat penat dan sakit-sakit sebab restless, ditambah dengan stress sebab anak sakit, Allah sahaja yang tahu betapa peritnya pengalaman tu. Sangat perit tetapi sangat berharga. Membuatkan aku serik untuk laluinya lagi andai dikurniakan anak kedua dan seterusnya nanti. Kepenatan dan keletihan aku semalaman hingga menyebabkan aku hampir hampir cuai terlepas anak aku daripada tangan semasa nak dukung dia. Sudahlah katil hospital tu lagi tinggi dari katil kat rumah. Penghadangnya pula tak menutup penuh bahagian tepi katil kiri kanan. Mujur aku dapat pantas .. kalau tak entahlah apa yang akan terjadi. Baby baru berusia seminggu lebih dah jatuh katil? Tinggi pula tu.. Allah.. tak dapat ku bayangkan. Aku bersyukur sangat pada Allah sebab selamatkan anak aku daripada kecuaian aku. Pendek kata, apabila anak sakit, kita sebagai ibu kena juga berehat supaya kita punya cukup tenaga dan stamina untuk menjaga anak yang sedang sakit. Makan juga kena yang berkhasiat. Minum pula kena banyak air putih. Tapi aku tak hirau semua tu. Aku enggan minum air putih sebab tak mahu asyik ke toilet je. Leceh bagi aku nak salin-salin pad kat toilet hospital. Tak selesa.

Pagi tu darah anak aku diambil untuk diuji bacaan kuningnya. Sementara menunggu keputusan, aku terima kunjungan daripada ketua staff di situ. Dia sebenarnya datang nak tenangkan aku, motivate aku. Tapi aku yang tengah depressed tahap tinggi ni tak boleh terima apapun kata dia. Sebenarnya apa yang diperkatakannya semuanya betul. Aku tak boleh stress. Aku kena cukup rehat cukup tidur, barulah boleh susukan anak aku. Tapi masa tu aku berkeras nak keluar dari hospital tu. Aku tak terima apapun cadangannya supaya anak aku ditahan lagi dan biar staff yang jaga anak aku sepenuhnya. Menjelang tengah hari doktor datang untuk bincangkan keputusan bacaan kuning anak aku. bacaannya cuma turun 0.1 sahaja yang mana bacaan sebelum 18.4 (kalau tak silap la.. dah lama sangat.. dah tak berapa ingat bacaan yang tepat), bacaan terkini 18.3.. still high kata doktor. Doktor tak nampak cemas tapi dia nampak hairan kenapa turun sikit sangat seolah tak turun langsung padahal dah guna dua lampu. Aku minta pada doktor untuk keluar hospital. Doktor benarkan dengan syarat aku kena pergi ke gov. Aku kata yes memang nak pergi gov sebab siapa tahan kalau kos 1 malam RM600, 2 malam dah berapa. Walaupun aku ada duit simpanan, tapi aku bukanlah begitu kaya sangat sampai tak kisah pun hal kos @ bill hospital.

Sekitar jam 2pm kami dapat keluar hospital yang mana aku rasa lega sangat-sangat. Bermalam di hospital walaupun berdua anak aku, di hospital swasta pula tu sangat-sangat-sangat menggerunkan seakan terpaksa bermalam di lokap @ penjara pula. Balik je dari hospital, kami suami isteri ikhtiar untuk turunkan kuning anak supaya tak ditahan di hospital besar. Aku ceritakan tips yang aku dapat dari staff KPJ berkenaan mandi air rebusan daun kucai. Suami aku buat petang tu. Malamnya lepas magrib kami bergegas ke hospital besar,unit kecemasan. Selama sejam menunggu untuk dipanggil doktor, apabila tiba giliran kami doktor kata, kesiannya lama tunggu dengan bawa baby. Doktor tu doktor india muda, lingkungan pertengahan 20an. Doktor enggan tahan anak aku kerana katanya kuning anak aku tak teruk, tak sampai kaki.. perut pun tak sampai. Aku sedikit lega. Untuk lebih kepastian, doktor tu refer pula pada doktor lain. Doktor melayu, muda, perempuan juga. Dia ada bertanya kenapa dah malam baru datang, sebab malam tak sesuai untuk check kuning memandangkan keputusan ujian darah akan mengambil masa sejam. Maksudnya kalau nak check bacaan kuning anak aku malam tu juga, aku kena tunggu lagi sejam baru dapat tahu resultnya. Jadi atas nasihat doktor, esok pagi-pagi pergi check kuning di KK. Hati aku melonjak riang sebab tak kena tahan wad. Yang paling happy dengar, kuning anak aku tak sampai perut pun so tak perlu kena tahan wad. Melalui rekod kuning anak aku, doktor kata baru 15 tak perlu masuk wad. Kalau 18 baru kena tahan wad. Masa tu aku cakap dalam hati, kalaulah doktor tu tau yang aku sorok rekod hospital KPJ  yang bacaan kuning anak aku 18 entah macam mana agaknya reaksi doktor-doktor situ. Suami aku sebenarnya suruh aku tunjuk je surat dari doktor KPJ tapi aku berkeras enggan sebab bagi aku bacaan kuning KPJ tak relevan. Mungkin spec lab dia jauh lebih tinggi dari gov. Tapi ada juga aku rasa macam nak tahu apa agaknya reaksi doktor hospital kerajaan apabila tengok rekod bacaan KPJ jauh beza dari KK. Dengan ujian manual yang dibuatnya iaitu tekan pada kulit anak dan tengok pada mata putih anak, adakah hospital gov akan tahan juga anak aku atau tak.Sebelum balik, doktor India muda yang baik hati tu tuliskan satu surat untuk tunjuk pada KK berkenaan anak aku tak perlu dimasukkan ke wad. Surat tu aku serah ke KK keesokan paginya. Doktor Melayu muda yang bagi aku kerek dan dengki kat aku dan anak aku sampai suruh anak aku warded tu terkejut tengok aku di KK pagi tu sebab dia ingatkan aku tak pergi hospital. Aku cerita pada dia yang aku pergi juga KPJ satu malam je kemudian nak pindah ke hospital besar tapi hospital tak terima. Dia tak banyak songeh. Dalam hati aku kata, kerek sangat nak suruh orang masuk wad, sekali doktor hospital gov tak mahu terima pun kita.. ihiksss..

Pengajaran yang aku dapat daripada anak kuning sangat banyak. Antaranya :
1. Jangan jemur anak di bawah cahaya matahari. Jangan ikut cakap-cakap orang.. Anak kita biar kita jaga dengan cara kita. Memang kena ada sedikit knowledge pasal cahaya matahari. Ada beza antara cahaya matahari dengan cahaya uv. Orang-orang tua khususnya berpendapat jemur anak di bawah cahaya matahari pagi boleh menurunkan kuning anak. Itu salah. Jemur di bawah cahaya @ sinar uv sebenarnya dan waktu yang sesuai hanya waktu awal dhuha iaitu sekitar jam 8-9 pagi. Kalau dah cecah pukul 10 pagi pun nak jemur, tu saja nak menyeksa baby namanya. Kesian baby. Kulitnya tipis, mild, fragile, sensitif lagi tapi orang-orang tua atau parents sibuk nak jemur baby bawah cahaya matahari. Cahaya matahari sekarang bukan macam cahaya matahari dulu. Dulu tengah hari buta jam 12 pm baru terasa panas. sekarang baru pukul 9 lebih atau 10 pagi dah terasa panasnya. Cahaya matahari sekarang banyak kesan buruknya, silap-silap kalau setiap hari jemur baby bawah cahaya matahari tu boleh kena kanser kulit si anak tu.. kesian! Sorry la i memang emo kalau nampak orang jemur anak ni, tapi kadang-kadang apa yang kita pantang, tu la yang jadi depan mata. keluar dari bilik air untuk mandi pagi, cari-cari mana baby, rupanya ayah dia bawa pegi depan rumah jemur anak. Rasa nak menjerit je. Stress betul. Jam dah pukul 10 lebih pagi dia leh jemur anak tengah-tengah panas tu.

2. Bila anak kita kuning, itu tandanya susu badan kita belum @ lambat keluar @ belum banyak. Sepatutnya kita kena ikhtiar untuk banyakkan susu badan, bukan ikhtiar bagi anak minum tu minum ni dah macam anak kita tu bahan ujikaji pula. Bayi bawah umur 6 bulan TAK BOLEH diberi minum apa-apa kecuali susu ibunya sahaja. Ini tak, orang kita punya 1001 macam petua untuk baby jaundis. Titiskan susu kambing la, titiskan anggur hitam la, anggur hijau la, beri minum serbuk mutiara la.. macam-macam lagi. Ingat perut anak kita tu tong sampah ke yang nak diberi segala macam benda. Tu belum lagi petua mandikan anak dengan daun inai la, daun belimbing buluh la,daun anak ke apa ntah lagi. Kawan aku mandikan anak dia dengan daun belimbing buluh, habis ruam badan baby dia.. kesian! Gatal kan daun-daun tu semua. Kulit anak kita tu fragile lagi, mandikan pun patutnya tak boleh gunakan sabun mandi lagi sebab tu semua bahan kimia. Aku mandikan anak dengan air rebusan daun kucai dengan aku minum air cincau campur gula kundur. Kuning anak aku turun, tapi bila fikir-fikir balik sebenarnya mungkin cincau tu membanyakkan susu badan thats why kuning anak boleh turun, bukan sebab mandi dengan daun-daun segala tu. 

3. Ikhtiar untuk banyakkan susu badan. Makan sayur lobak putih. Tu hidangan wajib ibu yang baru bersalin setiap hari. Makan sayur sawi pun ok. Ada kawan-kawan kata minum air mesti banyak, dalam sehari mesti dalam 3-4 liter. Tapi aku failed bab tu sebab sepanjang pantang n bernifas tu memang aku liat minum air putih sebab tak mahu asyik ke tandas je. Setiap kali nak ke tandas tu rasa bercintanya sebab luka jahitan masih belum baik, darah nifas masih banyak, kena cuci pakai ubat kuning doktor, kena lap kering-kering, kena ganti pad setiap kali keluar dari tandas. Kalau satu hari 5 kali ke tandas maksudnya 5 kali la kena ganti pad. Mujur aku ada jumpa sorang mommy dia masa aku pergi cucuk anak aku. Dia bf semua 3 orang anak dia sebab suami dia larang bagi susu fm, lagipun dia surirumah sepenuh masa, memang leh fokus bf je. Dia kata 'kembung la kalau minum air putih banyak2". Aku tanya, habis tu nak banyakkan susu minum apa. Dia kata dia minum susu tepung sehari 2 kali. susu tepung biasa je, macam anmum ke. Ooooh ok inshaa Allah untuk anak kedua ni aku boleh cuba tips tu. Tips lain yang aku dapat ialah minum pati kurma. Ada jual sebotol kecil jenama apa lupa pula, nanti aku cari gambarnya.

4. Anak kuning kena banyak poo poo. Tak kisah la sama ada dia banyak kali poo poo dalam sehari atau sekali poo poo tu najisnya banyak. Lagi banyak lagi bagus sebab lagi banyak najisnya lagi banyak juga kuningnya akan keluar ikut najis. Sebab tu ibu yang ada anak kuning disaran oleh doktor untuk bf anak setiap sejam. Ini untuk menggalakkan anak kuat poo poo juga so dengan cara ini dapat mengeluarkan cepat kuning tu dari badan anak.

5. Jangan bagi bayi kita minum susu kambing atau apa-apa la yang disaran oleh orang keliling. Kalau dia kata, anak dia dulu kuning, dia bagi susu kambing la kuning anak dia turun. Sebenarnya bukan susu kambing tu penyebab kuning anak dia turun tapi sebab dia kerap susukan anak dia yang menyebabkan kuning anak dia turun. Masa anak aku baru 3 hari aku dah bagi minum susu kambing. Siap masuk dalam botol tau. Hasilnya, memang ngeri. Muka anak aku penuh naik ruam macam jerawat halus-halus. Kesian sangat. Walaupun kita dah panaskan dulu susu kambing tu, tapi mungkin sebab susu tu bersifat panas, jadi sangat tak sesuai diberi direct kepada baby kita. Kalau nak khasiat susu kambing tu, ibu kena minum dan kemudian bf anak. Inshaa Allah anak akan dapat khasiat susu kambing  tu daripada susu badan ibunya.

1 comment:

  1. *Susu Kambing Segar Rawang*

    Produk Sangat Berkualiti & HALAL!!!
    ๐Ÿ’ซ100% Tulen
    ๐Ÿ’ซ100% Tiada Bau
    ๐Ÿ’ซ100% Tiada Pengawet
    ๐Ÿ’ซ100% Tiada Pemanis
    ๐Ÿ’ซ100% Tiada Perasa Tambahan

    *READY STOCK*
    ๐ŸŒธ 250ML/Satu Botol
    -Self Pickup tiada minimum buy
    -9:00Pagi - 12Mlm setiap hari

    ๐ŸŒธ Penghantaran Boleh Deal Tepi:-
    -Pembelian minima 10 botol
    -susu segar tidak sesuai dihantar melalui PosLaju

    ๐ŸŒธ10-50 Botol = Rm5.00/Satu
    ๐ŸŒธ51-100 Botol = Rm4.50/Satu
    ๐ŸŒธ101-Ke-Atas = Rm4.00/Satu

    ๐ŸŒธBoleh Waze "Susu Kambing Segar Rawang"
    https://waze.com/ul/hw284z8w7z

    Hubungi Saya Sekarang
    Ms Delaila
    Www.wasap.my/601110019338/SusuKambingSegarRawang

    ReplyDelete